PEMANDANGAN indah bagaikan lukisan.
PEMANDANGAN indah bagaikan lukisan.
Nor Akmar Samudin


Keletihan mendaki Bukit King Kong di Taman Nasional Bromo Tengger Semeru, Jawa Timur, Indonesia untuk menikmati pemandangan matahari terbit seawal jam 2 pagi pada suhu 12 darjah Celcius ternyata amat berbaloi.

Tidak terucap dengan kata-kata tatkala menyaksikan sedikit demi sedikit sang mentari mula mengintai dan menyebarkan sinarnya di celah Gunung Semeru pada sekitar jam 5.30 pagi untuk menyerlahkan keindahan alam dikelilingi gunung-ganang menghijau dan lautan pasir saujana sayup mata memandang.

Apatah lagi, kepulan awan putih menutupi permukaan gunung menyempurnakan lagi keindahan panorama pagi itu.

Jika cuaca mengizinkan, pengunjung berpeluang melihat keindahan Gunung Arjuna dan panorama Kota Malang di bawahnya.

Penulis bersama lima lagi rakan iaitu Shakir Shaufit Affandi, Mohd Azrin Lahuri, Azalina Abdul Rahman, Mohammad Aklis Azmi dan Farahen Abd Hadi leka merakamkan keindahan alam ciptaan Allah SWT yang terbentang seperti kanvas lukisan gergasi itu menerusi lensa kamera telefon masing-masing sebagai kenangan.

PENULIS (kiri) bersama rakan-rakan di puncak Gunung Bromo.
PENULIS (kiri) bersama rakan-rakan di puncak Gunung Bromo.

Kami bernasib baik cuaca pada pagi itu tidak berkabus jadi setiap momen di atas bukit dapat dirakamkan dengan begitu indah sekali.

Setiap sudut begitu indah dan terasa amat 'berat' untuk kami melangkah meninggalkan tempat itu untuk menuju ke lokasi seterusnya iaitu ke padang pasir yang terletak 10 minit perjalanan dari Bukit King Kong dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda (Jeep).

Padang pasir itu terkenal dengan nama Pasir Berbisik sempena nama filem lakonan pelakon popular negara berkenaan, Dian Sastrowardoyo dan Christine Hakim yang melakukan penggambaran di situ.

Ketika penulis dan rakan leka menikmati pemandangan di sekeliling, tiba-tiba pemandu memberhentikan kenderaan.

Katanya, kami perlu berjalan ke lokasi dituju iaitu sejauh 1.5 kilometer untuk melihat sendiri keunikan formasi kawah gunung berapi Bromo.

TANGGA yang perlu dinaiki untuk ke puncak Gunung Bromo.
TANGGA yang perlu dinaiki untuk ke puncak Gunung Bromo.

Sebelum memulakan perjalanan, penulis dan rakan tidak melepaskan peluang bergambar di sekitar kawasan padang pasir berlatarkan deretan Jeep yang membawa pelancong dan pergunungan.

Untuk pengetahuan pembaca, Gunung Bromo adalah setinggi 2,382 meter (m) dari paras laut.

Ia gunung berapi aktif di Jawa Timur dana apa yang uniknya, ia terletak di empat daerah iaitu Probolinggo, Pasuruan, Lumajang dan Malang.

Gunung yang menjadi tarikan pelancongan itu dikelilingi padang pasir seluas 5,300 hektar dan menjadi antara lokasi wajib sekiranya berkunjung ke Surabaya.

Untuk merentas padang pasir yang panas dan berdebu itu, pengunjung boleh memilih sama ada mahu berjalan kaki atau menunggang kuda dengan bayaran Rp100,000 (RM29.95) sehala.

KAWAH gunung berapi yang masih aktif.
KAWAH gunung berapi yang masih aktif.

Penulis bagaimanapun memilih untuk menunggang kuda kerana tidak sanggup 'mencabar' diri sendiri berjalan ke kaki Gunung Bromo.

Biarpun ia adalah pengalaman kali pertama penulis menunggang kuda tetapi perasaan agak selamat kerana pemilik kuda masih memegang tali kuda dan berjalan di hadapan.

Cabaran bukan setakat itu kerana penulis dan rakan-rakan masih perlu berjalan untuk sampai ke tangga pendakian ke puncak gunung itu yang memiliki sebanyak 250 anak tangga.

Ketika kami tiba, dianggarkan ratusan pengunjung sudah berbaris menaiki tangga itu dan ramai juga yang sudah kembali dari puncak.

Biarpun mengucap panjang melihat jaraknya, namun penulis gagahkan diri jua demi untuk melihat keunikan kawah yang masih aktif dan berasap itu.

Secara peribadi ia bukanlah perkara mudah bagi penulis dan rakan yang masing-masing bukanlah kaki gunung tegar atau ahli sukan yang mempunyai stamina tinggi.

Seperti mana pengunjung yang lain, kami juga kerap berhenti melepaskan lelah seketika dan melawan keletihan kerana mendaki ke kawasan yang lebih tinggi.

Selepas beberapa berhenti berehat, kami tiba juga di puncak dan kelihatan begitu ramai pengunjung sudah pun tiba lebih awal.

Cuaca yang cerah pada hari berkenaan membolehkan kami melihat kawah gunung berapi itu dengan lebih jelas.

Memang terpaku melihat keajaiban kejadian ciptaan Allah itu dan tidak hairanlah, jika Gunung Bromo adalah magnet tarikan utama pelancong ke Jawa Timur.

Begitupun, pengunjung diingatkan perlu sentiasa berhati-hati dan jangan terleka ketika berada di sekitar kawah berkenaan bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.

Pengalaman mendaki Gunung Bromo, menghidu sendiri wap sulfurnya dan mendengar gelegak lahar dari dalam kawahnya adalah pengalaman yang tidak dapat dilupakan penulis.

Selepas beberapa ketika, kami mengambil keputusan untuk segera turun ke kaki gunung dan kembali ke kenderaan yang setia menunggu.

Seperti mana perjalanan datang, laluan perjalanan pulang kami ke tempat penginapan juga disajikan pemandangan indah gunung ganang menghijau.

Di sebalik laluan yang agak berliku menuruni kawasan tanah tinggi Bromo itu, kami turut teruja dengan panorama sawah padi menghijau, kebun sayur, ladang jagung dan tebu, kebun buah-buahan dan banyak lagi yang semuanya tumbuh subur di kaki gunung berapi berkenaan.

Kunjungan ke Surabaya sebenarnya kurang lengkap jika tidak berkunjung ke Gunung Ijen untuk melihat sendiri Kawah Ijen yang terkenal dengan fenomena api biru'

Ia sebenarnya cahaya biru yang terpancar daripada pembakaran gas sulfur dan disifatkan tasik paling berasid di dunia.

Pemandangan alam seperti itu dikatakan hanya boleh dilihat di dua tempat sahaja di d

unia iaitu di Etiopia (Dallol Volcano) dan Ijen.

Gunung Ijen setinggi 2,386 m itu terletak di perbatasan Wilayah Banyuwangi dan Wilayah Bondowoso, Jawa Timur dan kali terakhir ia meletus adalah pada tahun 1999.

Pendakian ke puncak gunung biasanya akan mengambil masa lebih kurang dua jam dan jika kurang stamina, boleh menggunakan perkhidmatan ojek troli iaitu kereta sorong yang disediakan di sepanjang trek pendakian dengan kadar bayaran antara Rp200,000 (RM57.540) hingga Rp800,000 (RM230.15) tertakluk kepada perjalanan diperlukan pengunjung.

Selain itu, penulis dan rakan juga sempat berkunjung ke Air Terjun Tumpak Sewu atau disebut juga Coban Sewu setinggi 120 meter yang terletak di perbatasan Wilayah Lumajang dan Wilayah Malang.

Air terjun yang melebar bagaikan tirai itu terbentuk dari aliran Sungai Glidik yang memiliki hulu di Gunung Semeru, gunung tertinggi di Tanah Jawa.

Jika pendakian ke Gunung Bromo dan Gunung Ijen sudah cukup sulit, laluan untuk ke air terjun ini lebih sukar lagi. Hanya sejauh lebih kurang 100 meter sahaja menuju ke sana namun perjalanannya bukan kepalang.

Jalannya dibuat daripada tanah liat yang licin, berpaut pada besi, kayu dan tali. Beberapa tangga pula yang dibuat pula daripada buluh sudah rosak sehingga menyulitkan perjalanan dan pengunjung perlu memakai kasut yang sesuai.

Tidak mudah untuk menikmati keindahan alam yang hebat ini. Melewati sungai kecil yang mengalir dari air terjun, terasa dingin air mencecah kaki. Itulah hadiah terbaik di sebalik peritnya perjalanan itu.

Puas! Itulah juga perkataan yang terpancul apabila sampai di kaki air terjun raksasa yang mempesona ini.

Syukur, penulis dan rakan-rakan berpeluang menikmati sepuas-puasnya keindahan air terjun itu dan merakamkan sebanyak mungkin kenangan.

Sempat juga kami mengalas perut yang berkeroncong dengan bekalan biskut dan nasi goreng segera yang rasanya 'sangat sedap' kerana makan 'berebut' dengan ditemani deruan air terjun.

Percutian ini perjalanan yang panjang mengambil masa berjam-jam untuk sampai ke setiap destinasi.

Dari Lapangan Terbang Juanda ke Bromo sejauh 115 kilometer dengan jarak masa tiga hingga empat jam.

Dari Bromo ke Ijen pula sejauh 210 kilometer iaitu enam hingga tujuh jam. Ijen ke Lumajang berjarak 190 kilometer juga enam hingga tujuh jam perjalanan.

Jarak dari Lumajang ke Tumpak Sewu ialah 52 kilometer selama dua hingga jam seterusnya (kerana jalan yang berliku dan mendaki bukit) seterusnya menuju ke Malang sejauh 66 kilometer mengambil masa hampir tiga jam. Malang menuju ke Lapangan Terbang Juanda sejauh 87 kilometer memakan masa hampir empat jam.

Walaupun kematu berada lama dalam van namun hamparan pemandangan di setiap perjalanan tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.

Selain itu, harga makanan dan minum di Surabaya dan setiap wilayah kami kunjungi sangat murah iaitu antara RM2 hingga RM5 sahaja.

Apapun, banyak berjalan luas pemandangan. Ia bukan saja memberi banyak pengalaman namun memberi keinsafan kepada kita akan betapa agungnya ciptaan-Nya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Julai 2024 @ 7:01 AM