HIMPUNAN Saga 2.0 di Shah Alam.
HIMPUNAN Saga 2.0 di Shah Alam.
Lizam Ridzuan


Limpahan hampir 3,000 Proton Saga pelbagai model membanjiri kawasan persekitaran Stadium Shah Alam bersempena acara 'Official Saga Day 2.0' yang diadakan baru-baru ini.

Acara rasmi kali kedua ini dianjurkan S&H Event Automotive & Entertainment berjaya menarik lima ribu pengujung dengan pelbagai acara menarik yang diadakan sepanjang satu hari acara diadakan.

Wakil penganjur Muhammad Syamim Zulkifli berkata, acara ini berjaya mengumpulkan pemilik Proton Saga daripada generasi pertama sehingga yang terkini dari seluruh Semenanjung Malaysia dengan pelbagai kategori dipertandingkan.

"Bukan sahaja pameran dan pertandingan kereta, acara ini menyediakan reruai jualan dan pameran serta persembahan audio dan limbo buat peserta menjadikan acara bertambah meriah," katanya.

Ada 20 kategori acara Autoshow yang dipertandingkan mengikut kategori seperti Best Open Standard, Best Standard Body, Best Standard Modified, Best Modified, Best Extreme, Best Fiore Convert, Best Karat, Best Stance Airsus dan banyak lagi.

Untuk pemenang kategori menerima piala dan pemenang keseluruhan Best of The Best menerima piala setinggi lebih 10 kaki.

Selain pertandingan juga diadakan cabutan bertuah kepada pengunjung yang hadir dengan hadiah keseluruhan bernilai RM10,000,

"Bukan sekadar individu, malah acara ini juga menghargai sokongan kelab-kelab kereta yang hadir dengan menganjurkan kategori kelab dan komuniti terbaik serta kelab penyokong terbaik.

"Ada lebih 40 grup yang hadir untuk acara Official Saga Day 2.0 dan pemenang ialah daripada Geng Saga Motorsport dan untuk kelab penyokong terbaik dimenangi oleh Saga VVT MC," katanya.

PEMENANG kategori Best Of The Best.
PEMENANG kategori Best Of The Best.

ANTARA Saga unik yang hadir.
ANTARA Saga unik yang hadir.

PIALA setinggi 10 kaki untuk pemenang Best Of The Best.
PIALA setinggi 10 kaki untuk pemenang Best Of The Best.

SYAMIM (dua dari kiri) bersama barisan penganjur.
SYAMIM (dua dari kiri) bersama barisan penganjur.

Acara ini juga mendapat sokongan daripada seluruh pelusuk Malaysia, malah seorang pemilik Saga FLX , Samsudin Saleng dari Sabah sanggup 'terbang' ke Shah Alam bagi menyertai acara ini.

Meskipun tidak membawa kereta, tetapi kehadirannya sekadar ingin menyokong acara yang diadakan cukup bermakna

Mengenai acara tahun ini ,Muhammad Syamim berkata, tahap dan kualiti kenderaan dipamer terutama modifikasi sangat sempurna dengan pelbagai bentuk luaran dan dalaman.

"Ada yang mengenakan material gentian karbon pada bonet, kabin dengan material alcantara dan luaran dengan cat baharu serta perekat 'wrapping' pelbagai warna.

"Edisi kali ini tampilkan kelainan dengan penyertaan lebih ramai penaja terutama jenama aksesori automotif tempatan dan antarabangsa bersama-sama memeriahkan suasana," katanya.

Official Saga Day 2.0 juga dengan gaya tersendiri dan kali ini ramai yang hadir dengan konsep kenderaanlebih kemas serta padanan warna unik seperti lima ke enam tona warna pada badan kenderaan.

Kategori Best of The Best dimenangi oleh pemilik Proton Iswara Aeroback, Devarajan Arumugam dari Puchong, Selangor dengan anggaran modifikasi mencecah ratusan ribu ringgit.

Pemilihan dan pemarkahan dinilai secara keseluruhan menerusi aspek modifikasi luaran dan dalaman oleh juri profesional.

Tidak dilupakan model Saga lama dari tahun 80-an dan 90-an juga hadir sebanyak 150 buah sebagai model nostalgia sejak pengenalannya pada 1985.

Selain Saga 2.0, mereka juga merancang untuk menganjurkan acara Official Perodua dan Proton Day Vol.2 pada 10 dan 11 Ogos hadapan yang bertempat di Stadium Shah Alam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Julai 2024 @ 6:47 AM