VIOLA dan Prince William hadir menyaksikan perlawanan suku akhir Euro antara Switzerland dan England. -FOTO X
VIOLA dan Prince William hadir menyaksikan perlawanan suku akhir Euro antara Switzerland dan England. -FOTO X
AFP

Geneva: Presiden Switzerland, Viola Amherd menyuarakan rasa bangga dengan pasukan bola sepak negara itu biarpun mereka tersingkir daripada Euro 2024 menerusi sepakan penalti kepada England di suku akhir.

Ia adalah kali kedua berturut-turut Switzerland tewas menerusi penentuan sepakan penalti dalam pusingan lapan terakhir, peringkat yang paling jauh pernah mereka lalui dalam kejohanan itu selepas tumpas kepada Sepanyol juga menerusi penentuan penalti pada Euro 2020.

Kali ini mereka seri 1-1 dengan England, biarpun mendahului pada minit ke-75 sebelum kedudukan terikat lima minit kemudian dan tewas 5-3 menerusi sepakan penalti selepas masa tambahan di Dusseldorf.

"Saya mengucapkan tahniah kepada pasukan Switzerland atas prestasi yang hebat di kejohanan itu. Bersemangat dan cemerlang!

"Seronok melihat pasukan di stadium. Anda membuat kami bangga.

"Tahniah juga kepada pasukan England," kata Viola yang juga menteri sukan, di platform media sosial X.

Switzerland mara ke suku akhir Piala Dunia pada 1934, 1938 dan 1954 dan ada yang berpendapat tahun ini adalah peluang mereka untuk mara lebih baik dalam kejohanan utama, selepas menyingkirkan juara bertahan Euro 2020, Itali pada pusingan 16.

Beberapa ribu penyokong mengharungi hujan lebat untuk menyaksikan perlawanan di zon peminat di dataran Plainpalais di Geneva.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Julai 2024 @ 6:53 AM