AKAYDIN menanduk masuk gol pertama Turkiye. -FOTO AFP
AKAYDIN menanduk masuk gol pertama Turkiye. -FOTO AFP
AFP

Berlin: Jurulatih Turkiye, Vincenzo Montella berkata pasukannya wajar mendapat penghormatan biarpun mereka disingkirkan Belanda selepas tewas 1-2 di pentas suku akhir Euro 2024.

Mereka mara ke peringkat suku akhir pertandingan utama buat kali pertama sejak 2008 dan mendahului menentang Belanda di Berlin menerusi tandukan Samet Akaydin.

Bagaimanapun Stefan de Vrij menyamakan kedudukan dan Murt Muldur menjaringkan gol sendiri untuk membolehkan Belanda mara ke separuh akhir berdepan England.

"Pasukan bermain dengan semangat yang hebat, semangat Turkiye, walaupun kalah rakyat Turkiye menyayangi kami.

"(Pemain) yang bermain di Euro ini membanggakan kami. Selepas Euro ini, Turkiye akan dilihat dengan pandangan yang berbeza pada masa hadapan, mungkin dengan lebih rasa hormat," katanya.

Montella berkata biarpun pasukannya mensia-siakan kelebihan dan tidak dapat menahan Belanda, tidak ada masa untuk mengkritik diri sendiri.

"Lebih baik pada masa untuk beri tumpuan kepada apa yang sudah berlaku dengan baik.

"Saya tidak menyesal, pemain juga sepatutnya tidak menyesal... kami memenangi tiga perlawanan di Euro jadi kami menyamai rekod Turkiye."

Arda Guler yang beraksi bersama Real Madrid menjadi pemain utama Turkiye pada kejohanan itu.

Pemain berusia 19 tahun itu membantu gol menentang Belanda dan menjaringkan gol yang hebat ketika menang pada perlawanan pembukaan menentang Georgia.

"Dia bermain dengan sangat hebat di Euro. Dia belum berusia 20 tahun, memiliki masa depan cerah dan pengalaman ini akan menjadikannya pemain yang jauh lebih baik," tambah Montella.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Julai 2024 @ 7:17 AM