Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof, ketika ditemui pada Program Pelepasan Penghantaran ke-2 Bantuan Kemanusiaan OPS Ihsan ke Gaza di Sepang, malam in. FOTO SADIQ SANI
Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof, ketika ditemui pada Program Pelepasan Penghantaran ke-2 Bantuan Kemanusiaan OPS Ihsan ke Gaza di Sepang, malam in. FOTO SADIQ SANI
BERNAMA

Sepang: Pesawat kargo khas yang membawa penghantaran kedua bantuan kemanusiaan sumbangan Malaysia untuk rakyat Palestin menerusi Ops Ihsan berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa El-Arish, Mesir, malam ini.

Pesawat kargo khas itu berlepas kira-kira 11 malam dari Terminal Kargo, Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) di sini membawa barangan keperluan utama seberat 20 tan antaranya makanan, barangan bayi serta perubatan.

Penghantaran kedua itu menjadikan jumlah barangan bantuan dihantar Malaysia mencecah kepada 40 tan setelah melakukan penghantaran pertama membabitkan barangan seberat 20 tan pada 3 November lalu.

Penghantaran itu merupakan sebahagian daripada 50 tan barangan berjumlah lebih RM7 juta yang dikumpulkan untuk Ops Ihsan.

Baki barangan bantuan seberat 10 tan dijangka dihantar dalam penerbangan ketiga dalam masa terdekat.

Sebaik bantuan berkenaan tiba di Mesir, barangan berkenaan akan diserahkan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir sebagai rakan kerjasama bagi membawa masuk bantuan ke Palestin melalui pintu sempadan Rafah-Gaza.

Majlis pelepasan penghantaran kedua itu dihadiri Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof yang turut disertai Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan dan Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin.

Turut hadir Pengerusi Sekretariat Ops Ihsan Jismi Johari, Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali serta ketua perwakilan asing.

Ketika ditemui media di sini hari ini, Fadillah merakamkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat penerbangan dan petugas logistik yang bersama menjayakan misi bantuan kemanusian itu.

"Kita doakan perjalanan penghantaran (bantuan) ke Gaza dipermudahkan dan selamat sampai kepada rakyat Palestin yang amat memerlukan bantuan ini," katanya.

Pertempuran terkini di Palestin yang melibatkan Hamas, pihak berkuasa di Gaza dan rejim Israel sejak 7 Oktober lalu mengakibatkan kehilangan ribuan nyawa.

Ops Ihsan adalah inisiatif yang dilancarkan Kementerian Luar bersama lebih 50 NGO antaranya Global Peace Mission Malaysia, Mercy Malaysia, BeVital, MyAqsa Defenders, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Cinta Gaza Malaysia dan Malaysian Relief Agency (MRA).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2023 @ 11:54 PM