BARANGAN bantuan kemanusiaan dari Malaysia tiba di Mesir untuk dibawa ke sempadan pintu Rafah-Gaza. FOTO Ihsan Facebook rasmi Zambry Abd Kadir
BARANGAN bantuan kemanusiaan dari Malaysia tiba di Mesir untuk dibawa ke sempadan pintu Rafah-Gaza. FOTO Ihsan Facebook rasmi Zambry Abd Kadir
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Pesawat 9M-WCA yang membawa barangan bantuan kemanusiaan dari Malaysia selamat tiba di Lapangan Terbang Al-Trish, Mesir, hari ini.

Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dalam kenyataan di Facebook rasminya berkata, penerbangan menerusi Ops Ihsan itu tiba pada 8.25 pagi waktu tempatan.

"Mengikut laporan di lapangan, barangan bantuan itu sudah dipindahkan ke lori yang disediakan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir untuk dibawa terus ke Sempadan Pintu Rafah-Gaza.

"Insya-Allah jika tiada apa-apa halangan, semua barangan bantuan dari Malaysia ini akan sampai kepada rakyat Palestin di Gaza dengan segera," katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat atas bantuan dan sokongan termasuk doa untuk dipermudahkan misi bantuan itu.

Pelepasan pertama bantuan misi kemanusiaan Malaysia ke Gaza berlepas 11 malam tadi selepas tertangguh selama seminggu.

Pesawat Boeing, B737 itu memuatkan 20 tan bantuan terdiri daripada barang-barang keperluan termasuk perubatan dan dilepaskan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan disaksikan Zambrydan Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali.

Penghantaran bantuan kemanusiaan Malaysia kali kedua dijangka dilakukan pada minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2023 @ 11:40 PM