BERNAMA

El-Arish (Mesir): Pesawat kargo 9M-WCA yang membawa bantuan kemanusiaan awal peringkat pertama sumbangan ke Palestin menerusi Ops Ihsan, selamat mendarat di Lapangan Terbang Tentera El-Arish, di sini pagi ini.

Pesawat yang disewa khas Kerajaan Malaysia itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur semalam, tiba di sini kira-kira 8.50 pagi (12.50 tengah hari waktu Malaysia).

Melibatkan perjalanan sejauh 7,688 kilometer yang mengambil masa 15 jam, penerbangan pesawat kargo itu terlebih dahulu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Chennai, India dan seterusnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Sharjah (Emiriah Arab Bersatu), sebelum tiba di sini.

Bantuan berupa 20 tan barangan perubatan, barangan bayi dan makanan itu, telah diserahkan kepada wakil Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir untuk dibawa masuk ke Gaza melalui lintasan sempadan Rafah.

Lapangan Terbang Tentera El-Arish yang terletak dalam wilayah Sinai Utara, lapangan terbang yang berhampiran dengan sempadan Rafah, iaitu kira-kira 50 kilometer dan juga salah satu pusat untuk menerima bantuan yang diselia di bawah Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir.

Pada peringkat awal, bantuan ini dijadualkan untuk mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa El-Arish, namun disebabkan lapangan terbang itu tidak lagi beroperasi sejak tahun lepas, pasukan Ops Ihsan diarah untuk mendarat di lapangan terbang tentera.

PENGHANTARAN pertama barangan bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin, baru-baru ini. FOTO Bernama
PENGHANTARAN pertama barangan bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin, baru-baru ini. FOTO Bernama

Difahamkan sebaik bantuan ini melepasi sempadan Rafah, ia akan diserahkan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin di sempadan Nitzana, untuk diagihkan.

Ops Ihsan adalah inisiatif yang dilancarkan Kementerian Luar bersama 45 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), antaranya Global Peace Mission Malaysia, Mercy Malaysia, BeVital, MyAqsa Defenders, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Aman Palestin, Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Cinta Gaza Malaysia dan juga Malaysian Relief Agency (MRA).

Semalam pelepasan bantuan kemanusiaan Ops Ihsan telah disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan turut dihadiri Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serta ketua perwakilan asing.

Penerbangan penghantaran kedua sebanyak 20 tan barangan bantuan, dijadualkan pada 10 November.

Pertempuran terkini di Palestin yang membabitkan Hamas, pihak berkuasa di Gaza dan rejim Israel sejak 7 Oktober, mengakibatkan kehilangan ribuan nyawa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2023 @ 4:56 PM