Sumbangan akan disalurkan ke Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima.
Sumbangan akan disalurkan ke Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Restoran Me'nate Steak Hub melancarkan kempen makan dan derma bagi membantu penduduk di Palestin bermula 6 hingga 20 November ini di semua cawangannya.

Pengarah Urusan Palace Butcher Resources Sdn Bhd, Syed Ashraf Syed Ali berkata, kempen yang turut mendapat kerjasama Pertubuhan Kebajikan Rakyat Sejagat Malaysia (SEJAGAT) dan Tabung Kemanusian Palestin Media Prima itu menyasarkan kutipan RM300,000.

"Kempen yang berlangsung selama 15 hari ini dilihat sebagai tanda solidariti kami dalam membantu penduduk di Semenanjung Gaza yang menjadi mangsa kekejaman tentera Israel.

"Pelanggan yang menikmati sajian di semua cawangan restoran kami berpeluang menderma dengan 10 peratus hasil jualan itu akan disalurkan kepada penduduk di sana melalui Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima.

"Kami positif dapat mengumpulkan sasaran RM300,000. Mengapa kempen ini tidak berjalan lama, bagi kami sumbangan kepada penduduk Palestin harus disegerakan," katanya.

Menurutnya yang juga pemilik Me'nate Steak Hub berkata, pihaknya tidak menolak untuk meneruskan kempen kemanusiaan pada masa hadapan.

Malah menjadi harapannya juga supaya kempen sedemikian turut disertai premis makanan lain.

"Jika kempen ini mendapat sambutan kami tidak teragak-agak untuk meneruskanya pada masa hadapan.

"Harapanya bukan kami sahaja, tetapi sahabat lain yang berada dalam industri ini juga turut serta dalam membantu saudara kita yang kini sangat memerlukan bantuan di sana (Palestin),"katanya.

Sementara itu, mewakili Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PICOM) Muaz Omar terharu dengan keprihatinan penduduk di negara ini dalam usaha membantu penduduk Palestin.

"Kami berterima kasih atas bantuan yang tidak putus-putus diberikan. Kepayahan yang sedang dilalui rakyat kami menjadi sebab untuk kita lebih dekat.

"Cukup menakutkan membayangkan keadaan yang terpaksa dihadapi mereka di sana terutamanya kanak-kanak. Malah ketika ini bukan sahaja bantuan makanan dan perubatan tetapi kedatangan musim sejuk juga akan menjadi satu lagi cabaran besar buat mangsa di sana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2023 @ 7:01 PM