PASUKAN penyelamat melakukan pencari hari pertama sejurus dimaklum kehilangan nenek dan cucunya berusia 12 tahun di  Bukit Buluh Telur, Kuala Kubu Bharu. FOTO IHSAN BOMBA.
PASUKAN penyelamat melakukan pencari hari pertama sejurus dimaklum kehilangan nenek dan cucunya berusia 12 tahun di Bukit Buluh Telur, Kuala Kubu Bharu. FOTO IHSAN BOMBA.
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Nenek dan cucunya berusia 12 tahun dilapor hilang di Bukit Buluh Telur, Kuala Kubu Bharu semalam, selepas dikatakan tersesat ketika ke kebun durian.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita 62 tahun itu dan cucu perempuannya segera dilakukan sejurus menerima maklumat pada 3.12 petang.

"Pasukan lapan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu digerakkan ke lokasi.

"Menurut laporan awal, kedua-duanya dipercayai ke kebun durian, sebelum wanita itu menghubungi anak sulung pada jam 12 tengah hari dan memaklumkan mereka tersesat.

"Susulan itu, anak mangsa membuat laporan untuk bantuan mencari," katanya dalam kenyataan malam ini.

Wan Md Razali berkata, sehingga SAR ditangguhkan pada 7.20 malam, kedua-dua mangsa belum ditemui.

"SAR ditangguh kerana faktor gelap dan hujan di lokasi. Ia akan disambung semula esok," katanya.

SAR itu turut disertai Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2024 @ 12:04 AM