GAKPO (kiri) meraikan kemenangan Belanda bersama Weghorst selepas tamat perlawanan. FOTO REUTERS
GAKPO (kiri) meraikan kemenangan Belanda bersama Weghorst selepas tamat perlawanan. FOTO REUTERS
AFP

Hamburg: Cody Gakpo berkata Belanda perlu memberikan 'pelukan' kepada Wout Weghorst selepas gol lewat permainan pemain gantian itu memastikan Belanda melakar kemenangan 2-1 ke atas Poland pada aksi pertama di Euro 2024.

Penyerang Liverpool, Gakpo, menyamakan kedudukan selepas Adam Buksa meletakkan Poland di depan pada aksi di Volksparkstadion.

Belanda mensia-siakan beberapa peluang terbaik sebelum penyerang, Weghorst menjaringkan gol pada minit ke-83, hanya dua minit selepas masuk sebagai pemain gantian.

"Kami menguasai perlawanan tetapi kami sepatutnya mempamer aksi lebih tersusun. Kami sepatutnya memanfaatkan peluang yang ada," kata Gakpo.

"Kami perlu memberi pelukan kepada Wout. Semua pemain gantian beraksi dengan cemerlang hari ini," katanya lagi.

Puluhan ribu penyokong Belanda berduyun-duyun ke utara Jerman sekali gus mengubah Hamburg menjadi warna oren beberapa jam sebelum sepak mula.

"Terdapat ramai penyokong, lebih ramai daripada di Qatar (ketika Piala Dunia 2022)," tambah Gakpo.

"Ia sangat hebat. Mereka berada di sini untuk kami dan kami mampu mengharungi saat sukar, terima kasih kepada semua penyokong," katanya lagi.

Juara Eropah 1988 itu akan berdepan cabaran yang lebih sukar menentang pasukan pilihan, Perancis dalam perlawanan seterusnya di saingan Kumpulan D, Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2024 @ 12:07 AM