Penyampai HotFm, Farah Fauzana, AG dan Ayu memeriahkan lagi aktiviti roadshow meat up ME’NATE x Hot Fm. FOTO Rohanis Shukri
Penyampai HotFm, Farah Fauzana, AG dan Ayu memeriahkan lagi aktiviti roadshow meat up ME’NATE x Hot Fm. FOTO Rohanis Shukri
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Roadshow Meat Up bersama Me'nate dan Hot FM yang berlangsung semalam menyajikan 800 pek hidangan percuma kepada orang awam di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Pengurus Senior Jualan & Pemasaran Me'nate Steak Hub, Muhammad Danish Zulfiqar berkata, siri jelajah yang berakhir semalam adalah bersempena meraikan pembukaan cawangan ke-10 restoran itu.

"Acara ini kami adakan bersempena pembukaan cawangan ke-10 kami di The Curve. Kami mengadakan siri jelajah di sekitar Lembah Klang dengan membawa trak makanan kami selama enam hari dan berakhir hari ini.

"Objektifnya adalah untuk memberitahu orang ramai mengenai kewujudan jenama Me'nate yang semakin berkembang sejak mula dibuka tujuh tahun lalu," katanya kepada Harian Metro.

Berkongsi mengenai 800 pek juadah yang disediakan, Me'nate menggunakan sejumlah besar daging berkualiti untuk pelanggan mereka.

"Untuk juadah yang kami berikan secara percuma, kami gunakan 100 kilogram daging lembu, 100 kilogram daging kambing dan 100 ekor ayam.

"Sejak pagi tadi, saya dapat lihat impak besar daripada kolaborasi antara Me'nate dengan stesen radio Hot FM memandangkan ini adalah kali pertama kami mengadakan acara luar sebegini," katanya.

Orang awam hanya perlu mengimbas kod QR yang disediakan untuk mendapatkan satu pek juadah percuma. Turut turun padang adalah penyampai-penyampai Hot FM iaitu Fara Fauzana, AG, dan Ayulicious yang memeriahkan suasana dengan pelbagai permainan serta hadiah menarik.

Selain itu, turut diedarkan belon percuma dan baucar diskaun 50 peratus menu merdeka yang boleh digunakan di semua cawangan Me'nate Steak Hub.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2022 @ 1:06 PM