SYED Ashraf (tengah) menyerahkan sumbangan kepada wakil Media Prima Omnia, Sharifah Omar (kiri) untuk Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima dan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Rakyat Sejagat Malaysia, Syed Sheikh Al-Attas (kanan). FOTO Genes Gulitah.
SYED Ashraf (tengah) menyerahkan sumbangan kepada wakil Media Prima Omnia, Sharifah Omar (kiri) untuk Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima dan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Rakyat Sejagat Malaysia, Syed Sheikh Al-Attas (kanan). FOTO Genes Gulitah.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Hanya dalam tempoh dua minggu, Restoran Me'nate Steak Hub (Me'nate) berjaya mengumpulkan sebanyak RM300,000 untuk disumbangkan kepada tabung kemanusiaan Palestin menerusi kempen Dine and Donate yang dianjurkan bermula 6 hingga 20 November lalu.

Pengarah Urusan Palace Butcher Resources Sdn Bhd, Syed Ashraf Syed Ali berkata, pihaknya pertama kali menganjurkan kempen kebajikan dan menganggap kejayaan mengumpul sasaran dalam tempoh yang singkat ini adalah hasil sokongan padu daripada pelanggannya.

Katanya, dengan sambutan yang diterima ternyata dana itu dilihat sebagai permulaan yang baik buat rangkaian restoran untuk menganjurkan lebih banyak kempen seperti ini pada masa akan datang.

"Dalam tempoh kempen berlangsung, sebanyak 10 peratus daripada perbelanjaan pelanggan akan disumbangkan kepada tabung kemanusiaan Palestin dan Alhamdulillah sasaran itu berjaya dicapai dalam tempoh yang singkat.

"Pada pandangan saya, pelanggan Me'nate sangat cakna dengan apa yang berlaku di Palestin dan saya yakin ini juga peluang mereka untuk turut sama membantu saudara kita di sana," katanya kepada media di majlis penyerahan sumbangan di sini, hari ini.

Kutipan bernilai RM300,000 itu diagihkan kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima dan Pertubuhan Kebajikan Rakyat Sejagat Malaysia.

Menurutnya, Me'nate bercadang untuk melakukan lebih banyak kempen kemanusiaan bagi membantu mereka yang memerlukan.

Syed Ashraf berkata, kerjasama bersama dua organisasi ini disifatkan tepat kerana ia sebagai cara menyampaikan tanda solidariti terhadap perjuangan penduduk Palestin.

Beliau berkata, Me'nate akan kekal sensitif dengan isu seumpama ini dalam memastikan rangkaian perniagaan ini lebih dekat dengan masyarakat.

"Walaupun kepuasan pelanggan menjadi keutamaan kami, tetapi melalui isu ini kami juga ingin mengambil peluang mendidik masyarakat luar sana akan kepentingan kempen kemanusiaan ini.

"Bagi Me'nate kami tidak hanya tertumpu dalam pasaran dalam negara, mengorak langkah sebagai antara jenama Malaysia yang sudah mendapat tempat di pasaran antarabangsa, usaha seperti ini juga memberi peluang untuk kami mendapat pengiktirafan dari masyarakat di luar sana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2023 @ 6:16 PM