KETUA Cef Me’nate, Cef Muhammad Fazli Abdullah menunjukkan pelbagai hidangan  di Me’nate Steak Hub.
KETUA Cef Me’nate, Cef Muhammad Fazli Abdullah menunjukkan pelbagai hidangan di Me’nate Steak Hub.
Hamizah Badiran


Bagi penggemar daging dan makanan Barat khasnya, keenakan stik di restoran Me’nate Steak Hub memang terbaik.

Perapan daging istimewa dan rasa keasliannya cukup mempesona.

Apatah lagi, tiada keraguan dari segi status halal daging premium yang diimport dari Australia.

SYED Ashraf
SYED Ashraf

Pengarah Palace Butcher Resources Sdn Bhd, Syed Ashraf Syed Ali yang juga pemilik Me’nate Steak Hub, berkata, semua menu di restoran itu mempunyai resipi tersendiri yang diolah mengikut selera masyarakat tempatan.

“Kami menawarkan pelbagai kumpulan stik merangkumi daging lembu dan kambing serta ayam yang sesuai untuk seisi keluarga.

“Pilihan makanan kami tidak terhad kepada stik sahaja. Kami mempelbagaikan menu dengan hidangan ikan, pasta dan pencuci mulut untuk pelanggan,” katanya.

Antara hidangan popular di restoran itu ialah stik wagyu, angus ribeye, lamb rack, pasta, spageti, T-bone wagyu dan spageti bebola daging.

Menurut Syed Ashraf, selain masakan kampung yang lebih dekat di hati orang kita, masakan Barat semakin diminati.

“Tak kenal maka tak cinta. Justeru, sesekali berubah selera dengan menjamu hidangan Barat tiada salahnya,” katanya.

PERAPAN daging istimewa dengan keaslian rasa sos cukup menyelerakan.
PERAPAN daging istimewa dengan keaslian rasa sos cukup menyelerakan.

Sementara itu, sepanjang Ramadan ini, Me’nate Steak Hub menyajikan set kumpulan stik yang sesuai dimakan beramai-ramai untuk berbuka puasa.

Pelbagai pilihan boleh dinikmati mengikut pilihan pelanggan dan juga mengikut saiz kumpulan yang hadir.

Setiap set dihidangkan sama ada untuk dua atau tujuh orang, didatangkan dengan pilihan nasi beriani bukhari atau spageti aglio olio, buah kurma, kuih dan air.

Harga bermula dari RM89.90 bagi dewasa dan RM39.90 untuk kanak-kanak.

Me’nate Steak Hub mempunyai cawangan di Setapak, Ampang Jaya, Bangi dan Shah Alam.

INFO

ME'NATE STEAK HUB

• Alamat: Lot F-36, Vista Alam, Jalan Ikhtisas 14/1 off Persiaran Damai, Seksyen 14, 4000 Shah Alam, Selangor.

• No telefon: 03-55233493.

• Facebook: Me'nate Steak Hub.

• Instagram: menatesteakhub.

Menu berbeza menambat hati

Cita rasa masyarakat tempatan sememangnya sudah sebati dengan masakan pedas dan berasaskan rempah-ratus.

Memahami kehendak itu, kafe Wood & Steel yang menghidangkan makanan barat tetap memberikan cita rasa tempatan yang berempah dan sedikit pedas.

AZREEN menunjukkan menu ‘classic grilled chicken’ di kafenya.
AZREEN menunjukkan menu ‘classic grilled chicken’ di kafenya.

Pengarah Urusan Deluxe Merchant Sdn Bhd yang juga pemilik Wood & Steel Damansara Utama dan Wangsa Maju, Datin Azreen Abu Noh berkata, masakan barat menjadi menu tunjang kafe namun pihaknya tidak mengenepikan cita rasa masyarakat tempatan.

“Kami mahu tampilkan kelainan dengan menawarkan menu sedikit berbeza berbanding restoran lain.

“Keistimewaan yang kami tampilkan adalah mengolah masakan barat seperti burger, pasta dan spageti dengan sedikit rasa pedas untuk menepati selera tempatan. Namun jika pelanggan tidak mahu rasa pedas kami akan mengikut kemahuan pelanggan.

“Inilah kelainan yang cuba ditonjolkan untuk menarik pelanggan menikmati hidangan di sini,” katanya.

HIDANGAN popular di kafe Wood & Steel, tempura buttercream.
HIDANGAN popular di kafe Wood & Steel, tempura buttercream.

Tambah Azreen, sebolehnya, biarlah pengunjung jatuh cinta dengan menikmati kelazatan dan keselesaan maksimum ketika makan di kafenya itu.

Antara menu hidangan Barat yang menarik di kafe Wood & Steel adalah tempura buttercream, spageti aglio olio, moroccan lamb shank, classic grilled chicken, pelbagai jenis burger, sandwic serta salad termasuk pencuci mulut yang menawarkan aneka pilihan kek dan minuman.

INFO

KAFE WOOD & STEEL

• Alamat: No 104, Jalan SS21/35, Damansara Utama, 47400 Petaling Jaya, selangor.

• No telefon: 03-77315492.

• Facebook: Wood & Steel Damansara Utama.

• Instagram: woodandsteel.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2017 @ 8:17 AM