PENGUAT Kuasa KPDN WPKL melakukan pemantauan di sekitar Pasar Chow Kit. FOTO Ihsan KPDN.
PENGUAT Kuasa KPDN WPKL melakukan pemantauan di sekitar Pasar Chow Kit. FOTO Ihsan KPDN.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzi


Kuala Lumpur: Bekalan barang keperluan di Pasar Chow Kit, di sini dan di ibu negara amnya dijamin mencukupi dalam tempoh sambutan Aidiladha bermula hari ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, selain itu bekalan petrol di stesen minyak juga mampu menampung perjalanan keluar masuk pengguna di ibu negara.

Katanya, pihaknya melakukan tinjauan dan pemantauan dengan 15 premis sekitar Pasar Chow Kit diperiksa, selain 163 pemeriksaan barang keperluan dibuat pada Sabtu dan Ahad.

"Pemeriksaan ini bagi memastikan harga bahan mentah terkawal dan tidak dinaikkan sesuka hati oleh pihak tidak bertanggungjawab," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, sepanjang Januari sehingga 16 Jun, 68,340 premis perniagaan diperiksa dan sejumlah RM2.11 juta rampasan dibuat dan kompaun RM97,800 dikeluarkan.

"Peniaga dinasihatkan agar sentiasa mematuhi peraturan yang sedang berkuat kuasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2024 @ 12:43 AM