LOKASI bot panjang karam di Jeram Menjawah, Belaga menyebabkan dua pekerja syarikat kontraktor hilang. FOTO JBPM.
LOKASI bot panjang karam di Jeram Menjawah, Belaga menyebabkan dua pekerja syarikat kontraktor hilang. FOTO JBPM.
Erika George


Belaga: Dua pekerja syarikat kontraktor dikhuatiri lemas dibawa arus selepas bot panjang disewa untuk menyusuri Sungai Rejang di sekitar Jeram Menjawah, di sini karam pada 4 petang hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba (PGO) Sarawak berkata, dua penumpang yang masih hilang dikenali Balavishnu Permaloo, 36, dan Rhuban Apparoo, 30, kedua-duanya berasal dari Padang Serai, Kedah.

"Tiga lagi mangsa yang turut berada dalam bot sama bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh jurumudi bot," katanya.

Menurutnya, pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Belaga bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada 4.33 petang dan menerusi maklumat awal, semua mangsa menaiki bot untuk bersiar-siar.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera digerakkan dengan teknik pencarian secara permukaan, namun gagal mengesan keberadaan mangsa.

"Atas faktor keselamatan, SAR hari pertama ditangguhkan pada 6.30 petang, dan akan disambung esok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 11:49 PM