FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Muhamad Lokman Khairi


Teluk Intan: Mangsa banjir di Perak terus mencatatkan peningkatan pagi ini dengan 156 orang daripada 45 keluarga dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah berbanding 92 orang daripada 23 keluarga jam 4 petang semalam.

Laporan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Perak setakat jam 8 pagi menunjukkan, sebuah PPS baru dibuka di daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Star jam 8 malam tadi dengan pemindahan seramai 30 mangsa daripada 11 keluarga.

Kesemua mangsa diarahkan berpindah selepas banjir melanda dua buah kampung di daerah berkenaan melibatkan Kampung Sungai Star Kecil dan Kampung Tanjong Lengkong.

Dua PPS lain iaitu PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak (dibuka 23 Oktober lalu) di daerah Hilir Perak dan PPS Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak (dibuka 24 Oktober lalu) di daerah Kerian masih aktif.

"Hilir Perak menjadi daerah paling terjejas di Perak dengan merekodkan 85 mangsa (25 keluarga) ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak selepas beberapa kampung di Changkat Jong dinaiki air kesan limpahan Sungai Bidor.

"PPS SK Changkat Lobak pula mencatatkan 41 mangsa daripada sembilan keluarga," katanya.

Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak melaporkan paras air Sungai Bidor di Changkat Jong dekat sini mencecah 4.10 meter (m), melepasi paras bahaya 3.50m.

"Paras air di Sungai Kinta di Weir Tanjung Tualang dan Sungai Slim di Slim River berada pada paras amaran dengan masing-masing merekodkan 13.92m (paras amaran bagi Sungai Kinta, 13.75m) dan 25.31m (paras amaran bagi Sungai Slim, 25.20m)

"Selain itu, Sungai Kerian di Selama dan Sungai Ijok di Titi Ijok berada pada paras berjaga-jaga dengan masing-masing merekodkan 11.52m (paras berjaga-jaga bagi Sungai Kerian, 11.00m) dan 11.62m (paras berjaga-jaga bagi Sungai Ijok, 11.30m)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2023 @ 9:45 AM