PPS Dewan Orang Ramai Kampung Kuak Luar baru dibuka malam tadi bagi menempatkan penduduk dari empat kampung di daerah Hulu Perak yang terjejas banjir. FOTO IHSAN APM
PPS Dewan Orang Ramai Kampung Kuak Luar baru dibuka malam tadi bagi menempatkan penduduk dari empat kampung di daerah Hulu Perak yang terjejas banjir. FOTO IHSAN APM
BERNAMA

Ipoh: Jumlah mangsa banjir di tiga daerah di Perak terus meningkat pagi ini dengan 419 orang daripada 121 keluarga berbanding 379 orang daripada 107 keluarga, malam tadi, dengan sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak memaklumkan sebuah PPS dibuka di Dewan Orang Ramai Kampung Kuak Luar di daerah Hulu Perak pada 11.30 malam tadi, menjadikan lima PPS beroperasi setakat ini.

PPS itu menempatkan 40 orang daripada 14 keluarga yang terjejas dari Kampung Paya Kuak Luar, Kampung Bukit Serdang Air Panas, Kampung Kuak Tengah dan Kampung Raja Kayu.

Menurut sekretariat itu, jumlah mangsa banjir di Hilir Perak masih kekal iaitu seramai 171 penduduk daripada 50 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak, manakala 51 orang daripada 14 keluarga berada di PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI).

"Jumlah mangsa di Kerian juga kekal dengan 100 orang daripada 24 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak dan 57 orang daripada 19 keluarga berlindung di PPS SK Alor Pongsu," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan paras Sungai Bidor di Changkat Jong berada pada paras bahaya apabila merekodkan ketinggian 3.81 meter (m) berbanding paras normal iaitu dua m, manakala Sungai Kinta di Weir Tanjung Tualang pula berada pada paras berjaga-jaga dengan merekodkan ketinggian 13.64 m berbanding paras normal iaitu 10 m.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula meramalkan ribut petir berlaku pada sebelah petang di beberapa daerah iaitu Hilir Perak, Manjung, Larut, Matang dan Selama, Kinta dan Kuala Kangsar, manakala cuaca diramalkan baik di Kerian dan Bagan Datuk pada sebelah petang dan malam.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak turut memaklumkan Jalan Kubu Gajah Ijok-Sumpitan di Selama masih ditutup kepada semua kenderaan akibat tanah runtuh dan orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif di Jalan Pintasan Kampung Sumpitan-Kampung Masjid.

Selain itu, laluan F 193 Jalan Proton City di Daerah Mualim juga terhalang di kedua-dua arah dan ditutup kepada kenderaan akibat tanah runtuh, manakala di Kerian laluan FT 147 Jalan Selama hanya dibuka kepada kenderaan berat dan orang ramai diarahkan menggunakan jalan alternatif di A111 Jalan Pintasan Alor Pongsu-Bukit Merah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2023 @ 10:55 AM