ANGGOTA APM melakukan tinjauan di sekitar Changkat Jong yang dilanda banjir berikutan limpahan Sungai. FOTO Ihsan APM.
ANGGOTA APM melakukan tinjauan di sekitar Changkat Jong yang dilanda banjir berikutan limpahan Sungai. FOTO Ihsan APM.
Muhamad Lokman Khairi


Teluk Intan: Mangsa banjir di Perak terus mencatatkan peningkatan malam ini dengan 471 orang daripada 145 keluarga dipindahkan ke lima pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah.

Ia berbanding 413 orang daripada 126 keluarga jam 4 petang tadi.

Laporan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Perak setakat jam 8 malam menunjukkan, sebuah PPS baru dibuka di daerah Hilir Perak iaitu PPS Dewan Serbaguna Chikus pada 6 petang membabitkan 13 mangsa daripada enam keluarga.

Mereka terdiri daripada penduduk Kampung Baru Ayer Hitam dan Batu 9 Simpang Tiga Changkat Jong yang terjejas akibat banjir berpunca hujan lebat berterusan selama kira-kira 2 petang.

Sementara itu, empat lagi PPS iaitu PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak (dibuka 23 Oktober lalu), PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Langkap (dibuka 1 November lalu) di daerah Hilir Perak, serta dua PPS di daerah Kerian iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak (dibuka 24 Oktober lalu) dan PPS SK Alor Pongsu (dibuka 30 Oktober lalu) masih berstatus aktif.

Hilir Perak menjadi daerah paling terjejas di Perak dengan merekodkan 317 mangsa (102 keluarga), diikuti daerah Kerian yang merekodkan sejumlah 154 mangsa (43 keluarga).

Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak melaporkan paras air Sungai Bidor di Changkat Jong dekat sini mencecah 4.28 meter (m), melepasi paras bahaya 3.50 m.

Sungai Kinta di Weir Tanjung Tualang pula berada pada paras berjaga-jaga apabila merekodkan bacaan 13.45m (paras berjaga-jaga bagi Sungai Kinta, 13.00m).

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak melaporkan penutupan jalan persekutuan di beberapa daerah berikutan situasi banjir semasa.

Di Kerian, FT147 Jalan Selama ditutup kepada semua jenis kenderaan berikutan kenaikan paras air di jalan terbabit, pengguna dinasihatkan menggunakan jalan alternatif A111 Jalan Pintasan Alor Pongsu-Bukit Merah.

Di Hilir Perak, A129 Jalan Langkap-Air Hitam dipasang papan amaran sementara, penggunaan diminta menggunakan jalan alternatif FT058.

Di Batang Padang, JKR Perak sedang menyegerakan kerja-kerja pembaikan bahu jalan di FT1152 FELDA Trolak Selatan yang runtuh memandangkan ia adalah jalan utama.

Di Selama, JKR Perak sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan di A021 Jalan Kubu Gajah Ijok-Sumpitan dan jalan dibuka untuk semua kenderaan.

Bagi mengelakkan kesesakan, pengguna dinasihatkan menggunakan jalan alternatif di Jalan Pintasan Kampung Sumpitan-Kampung Masjid.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2023 @ 9:27 PM