PENDUDUK yang terjejas akibat banjir di tempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Padang Tembak. FOTO BERNAMA
PENDUDUK yang terjejas akibat banjir di tempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Padang Tembak. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Ipoh: Seramai 219 mangsa banjir daripada 63 keluarga masih ditempatkan di empat PPS di daerah Hilir Perak dan Kerian.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak dalam kenyataan memaklumkan di Hilir Perak, jumlah mangsa kekal 53 orang daripada 17 keluarga di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak dan 12 daripada tiga keluarga masih di PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan.

"Mangsa banjir di Kerian pula kekal 97 orang daripada 24 keluarga yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak, dan 57 orang daripada 19 keluarga berlindung di PPS SK Alor Pongsu," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan paras Sungai Bidor di Changkat Jong berada pada tahap bahaya dengan mencatat ketinggian 4.02 meter, manakala Sungai Kinta di Weir Tanjung Tualang dan Sungai Slim di Slim River pada paras berjaga-jaga, masing-masing dengan 13.29 meter (m) dan 25 m.

Berdasarkan maklumat daripada Jabatan Meteorologi, cuaca diramal baik pagi ini, namun hujan dan ribut dijangka berlaku di kebanyakan daerah di Perak pada petang dan malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2023 @ 10:08 AM