GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Ipoh: Jumlah mangsa banjir di Perak berkurangan kepada 272 orang daripada 75 keluarga pagi ini berbanding berbanding 276 orang daripada 76 keluarga malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak dalam kenyataan memaklumkan kesemua mangsa ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di Hilir Perak dan Kerian.

"Di Hilir Perak, 73 orang daripada 22 keluarga berada di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak dan 42 orang daripada 10 keluarga di PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan.

"Mangsa banjir di Kerian pula kekal 100 orang daripada 24 keluarga yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak dan 57 orang daripada 19 keluarga berlindung di PPS SK Alor," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan paras Sungai Bidor di Changkat Jong berada pada tahap bahaya dengan mencatatkan ketinggian 3.78 meter berbanding paras normal iaitu dua meter, manakala Sungai Kinta di Weir Tanjung Tualang pula pada paras berjaga-jaga dengan 13.16 meter berbanding paras normal 10 meter.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula meramalkan ribut petir serta hujan berlaku pada sebelah petang dan malam di semua daerah.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak turut memaklumkan Jalan Kubu Gajah Ijok-Sumpitan di Selama masih ditutup kepada semua kenderaan akibat tanah runtuh dan orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif di Jalan Pintasan Kampung Sumpitan-Kampung Masjid.

Selain itu, di Kerian laluan FT 147 Jalan Selama hanya dibuka kepada kenderaan berat dan orang ramai diarahkan menggunakan jalan alternatif di A111 Jalan Pintasan Alor Pongsu-Bukit Merah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2023 @ 10:25 AM