Norsinah menunjukkan gambar arwah ibunya, Fatimah Ismail (bulatan merah)  antara tiga maut kemalangan di Segamat petang semalam. FOTO AHMAD ISMAIL
Norsinah menunjukkan gambar arwah ibunya, Fatimah Ismail (bulatan merah) antara tiga maut kemalangan di Segamat petang semalam. FOTO AHMAD ISMAIL
Ahmad Ismail


Segamat: "Dua hari sebelum ibu terbabit nahas, dia beritahu arwah ayah dan abang kerap datang dalam mimpinya dengan berpakaian serba putih," kata Norsinah Embok Hitam, 45, anak kepada Fatimah Ismail, 66 yang maut dalam nahas di Kilometer 167 Jalan Johor Bahru-Seremban di sini, semalam.

Menurut Norsinah, ibunya juga memberitahu dalam mimpinya dia diajak menyusul arwah ayah Embok Hitam dan abangnya, Mohd Jamal yang meninggal dunia beberapa tahun lalu ke dunia lain.

Katanya, nahas berlaku ketika ibu serta neneknya, Indok Akok, 89 dan ibu saudaranya, Tahallah Abd Fatah, 62, dalam perjalanan pulang ke Benut selepas melawat saudara meninggal dunia di Felda Pemanis.

"Nahas bukan sahaja menyebabkan saya kehilangan ibu, malah nenek dan ibu saudara juga maut dalam kemalangan itu.

"Saya kehilangan tiga ahli keluarga tersayang sekali gus," katanya ditemui di Jabatan Forensik Hospital Daerah Segamat (HDS) di sini, hari ini.

Norsinah berkata, arwah ibunya itu disifatkan sebagai peramah selain tidak lekang melemparkan senyuman terhadap keluarga serta jiran dan pulang dari mengerjakan Umrah April lalu

"Sepanjang hayatnya, arwah tidak pernah menunjukkan sifat marah kepada orang sekelilingnya. Dia sangat menjaga tutur kata dan sering berjenaka bersama keluarga dan kenalannya," katanya.

Sementara itu, anak Indok Akok, Ambok Salingkek Abdul Fatah, 69 berkata, dia terkejut selepas mendengar berita nahas yang meragut nyawa tiga keluarganya itu.

"Ibu dan adik saya dalam perjalanan pulang dari Felda Pemanis selepas selesai pengebumian anak saya.

"Seperti tidak percaya tetapi saya harus menerima ketentuan ini dengan hati yang tabah," katanya.

Nahas dilaporkan pada 5.40 petang semalam membabitkan Perodua Alza dinaiki tiga mangsa yang maut berkenaan dengan kereta Honda Jazz dan pikap trak Toyota Hilux.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila Toyota Hilux dipandu lelaki tempatan dari arah Johor Bahru gagal memasuki lorong kiri selepas menukar laluan dari kanan jalan.

Pacuan empat roda itu dilanggar Honda Jazz dari arah belakang sebelah kiri yang menyebabkan ia hilang kawalan dan bertembung Perodua Alza yang datang dari arah bertentangan.

"Pertembungan menyebabkan Perodua Alza terbabas dan tiga penumpang belakangnya yang berusia 89, 66, dan 62 tahun parah sebelum meninggal dunia.

"Pemandu kenderaan itu yang berusia 30 tahun dan enam penumpang berusia setahun hingga 38 tahun cedera dan dirawat di Hospital Daerah Segamat (HDS)," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, pemandu dan seorang penumpang Toyota Hilux juga dirujuk ke HDS, manakala pemandu serta penumpang Honda Jazz tidak cedera.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2023 @ 11:52 AM