LAPORAN terdahulu.
LAPORAN terdahulu.
Ahmad Ismail


Segamat: Kegagalan menukar lorong dipercayai punca nahas di Kilometer 167 Jalan Johor Bahru-Seremban dekat sini, yang mengorbankan tiga wanita termasuk warga emas.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, kemalangan itu dilapor pada 5.40 petang Khamis, yang membabitkan Perodua Alza, Honda Jazz dan Toyota Hilux.

Katanya, ia dipercayai berlaku apabila Toyota Hilux dipandu lelaki tempatan dari arah Johor Bahru gagal memasuki lorong kiri selepas menukar laluan dari kanan jalan.

"Pacuan empat roda itu dilanggar Honda Jazz dari arah belakang sebelah kiri yang menyebabkan ia hilang kawalan dan bertembung Perodua Alza yang datang dari arah bertentangan.

"Pertembungan menyebabkan Perodua Alza terbabas dan tiga penumpang belakangnya yang berusia 89, 66, dan 62 tahun parah sebelum meninggal dunia.

"Pemandu kenderaan itu yang berusia 30 tahun dan enam penumpang berusia setahun hingga 38 tahun cedera dan dirawat di Hospital Daerah Segamat (HDS)," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, pemandu dan seorang penumpang Toyota Hilux juga dirujuk ke HDS, manakala pemandu serta penumpang Honda Jazz tidak cedera.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2023 @ 1:09 AM