ANTARA kenderaan terbabit kemalangan itu. FOTO Ihsan Bomba
ANTARA kenderaan terbabit kemalangan itu. FOTO Ihsan Bomba
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


DUA lelaki Orang Asli maut, manakala dua yang lain parah dalam nahas membabitkan empat kenderaan di kilometer 6 Jalan Jerantut-Maran dekat Jerantut Feri, di Jerantut, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, mangsa A Rudin, 25, dan rakannya Ahmad Bustamam Fauzi, 33, maut di tempat kejadian akibat parah di badan dan kepala.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan berkata, siasatan awal mendapati kejadian membabitkan pacuan empat roda Toyota Hilux, Proton Wira Aeroback, Proton Iswara dan motosikal Honda EX5.

Katanya, siasatan di lokasi kemalangan mendapati Toyota Hilux dipandu dari arah Jengka ke bandar Jerantut, sementara tiga lagi kenderaan dari arah bertentangan.

“Berdasarkan keterangan beberapa saksi dan siasatan di lokasi kejadian mendapati pemandu Toyota Hilux dipercayai masuk ke laluan bertentangan sebelum pemandu Proton Wira Aeroback cuba mengelak ke kiri jalan tetapi dilanggar oleh kenderaan itu menyebabkannya terbabas ke bahu jalan.

“Dalam masa sama, Toyota Hilux itu turut terbabas dan berpusing sebelum melanggar Proton Iswara dinaiki dua mangsa terbabit yang berada di belakang Proton Wira Aeroback.

“Kejadian itu turut menyebabkan penunggang motosikal Honda EX5 gagal mengelak Toyota Hilux sebelum merempuh kenderaan itu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mazlan berkata, siasatan mendapati mangsa Rudin adalah pemandu Proton Iswara, sementara Ahmad Bustamam duduk di bahagian penumpang belakang.

Beliau berkata, seorang lagi rakan mereka yang juga duduk di bahagian penumpang belakang T Wani, 40, parah selepas patah tulang pinggul serta mengalami pendarahan di bahagian perut.

Katanya, turut parah, penunggang EX5, Ashraf Danial Mohd Tarmizi, 17, sementara pemandu dan penumpang hadapan Toyota Hilux tidak mengalami kecederaan.

“Pemandu Proton Wira Aeroback juga tidak mengalami kecederaan dan penumpang kenderaan itu hanya cedera ringan,” katanya.

Beliau berkata, keterangan pemandu dan penumpang kenderaan terselamat sudah diambil bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Oktober 2019 @ 10:01 AM