KEMALANGAN di Batu 25, Jalan Kuala Kangsar-Ipoh dekat Enggor. FOTO Ihsan Bomba
KEMALANGAN di Batu 25, Jalan Kuala Kangsar-Ipoh dekat Enggor. FOTO Ihsan Bomba
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Sungai Siput: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai cuai ketika memandu hingga mengakibatkan seorang maut serta lima individu cedera apabila lori dipandunya terbabit kemalangan dengan tiga kenderaan lain di Kilometer 39. Jalan Ipoh-Kuala Kangsar, di sini, hari ini.

Nahas jam 1.53 tengah hari itu membabitkan lori dipandu lelaki berusia 50-an terbabit, kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza, kereta Honda City dan Perodua Axia.

Remaja Nur Aisyah Idris, 18, maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, siasatan awal mendapati nahas berlaku apabila lori dipandu lelaki itu melanggar Proton Axia dinaiki mangsa yang maut dari arah belakang.

Beliau berkata, kejadian berlaku ketika Perodua Axia yang dalam perjalanan dari arah Sungai Siput menghala Kuala Kangsar berhenti ketika cuba membelok ke simpang sebelum lori terbabit merempuhnya dari belakang.

"Rempuhan itu menyebabkan Perodua Axia terbabit memasuki laluan bertentangan sebelum ia bertembung dengan Perodua Alza serta Honda City.

"Mangsa yang berada di tempat duduk penumpang maut di tempat kejadian. Selain mangsa yang maut, lima mangsa lagi cedera," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, pemandu lori itu ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2022 @ 11:08 PM