Ahmad Ismail.


Segamat: Lima maut dipercayai sekeluarga dalam kemalangan membabitkan lori, Perodua Alza, Perodua Bezza dan dua lagi di Kilometer 5, Jalan Segamat- Kuantan 6.30 petang hari ini.

Pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bandar Putra Segamat, Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Mazuki Ismail berkata, kemalangan membabitkan lima kenderaan iaitu lori membawa muatan pasir, Perodua Alza, Perodua Bezza, HRV-Honda dan Proton Wira itu menyebabkan lima mangsa maut di tempat kejadian.

"Kami terima panggilan 6.33 petang, pegawai bersama 21 anggota dari BBP Segamat dan BBP Bandar Baru, Segamat dibantu jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

"Anggota bomba memotong besi bagi mengeluarkan lima mangsa yang tersepit dalam Perodua Alza dan kesemua mereka disahkan meninggal dunia.

"Lima mangsa yang maut terdiri daripada seorang lelaki berusia 46 tahun, dua wanita serta dua kanak-kanak perempuan berusia 10, dan 13 tahun, dipercayai suami isteri dan anak-anak," katanya.

Kemalangan maut  membabitkan lima kenderaan di KM 5 Jalan Segamat- Kuantan petang tadi. FOTO AHMAD ISMAIL
Kemalangan maut membabitkan lima kenderaan di KM 5 Jalan Segamat- Kuantan petang tadi. FOTO AHMAD ISMAIL

Sementara itu, katanya, dua lagi dalam Perodua Alza iaitu remaja lelaki 15 tahun dan kanak-kanak lelaki lima tahun mengalami kecederaan.

"Pemandu lori juga mengalami kecederaan manakala tiga wanita dewasa dalam Perodua Bezza selamat.

"Mangsa yang maut dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Daerah Segamat (HDS) manakala tiga yang cedera dihantar ke HDS untuk menerima rawatan," kata beliau dalam satu kenyataan, malam ini.

Katanya, semua identiti mangsa belum dikenal pasti dan pihaknya sudah menyerahkan kes itu kepada polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Deputi Superintendan Ahmad Zamry Marinsah ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan bagi mengetahui punca kemalangan.

"Kita sedang kenal pasti semua identiti mangsa dan punca kemalangan berlaku.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2023 @ 10:55 PM