Nor Fazlina Abdul Rahim dan Syaherah Mustafa


Tanah Merah: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas kenyataan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa akan ada perubahan Kerajaan Persekutuan jika Perikatan Nasional (PN) menang Pilihan Raya Negeri (PRN).

"Saya tanya Hadi, kamu faham ke Perlembagaan Malaysia? Yang menentukan kedudukan Putrajaya adalah ahli parlimen, malah parti Sabah dan Sarawak juga menyatakan sokongan penuh kepada Kerajaan Perpaduan.

"Tidak salah Pas mahu meroyan. Biarkan dia meroyan, namun saya nak tanya kamu nak memerintah buat apa? Masalah air di Kelantan pun tidak selesai, sedangkan saya yang baru beberapa bulan sudah meluluskan dengan segera RM500 juta untuk masalah air di Kelantan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Perpaduan Madani di Tanah Merah, di sini, malam ini yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Terdahulu, Abdul Hadi dilapor berkata, untuk memastikan perubahan kerajaan berlaku, penting untuk rakyat mencerminkan sokongan dengan memberi kemenangan kepada calon PN yang bertanding pada Sabtu ini.

Sebelum ini media melaporkan, parti Sabah dan Sarawak yang bersama Kerajaan Perpaduan ketika ini tetap memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan Anwar untuk kekal mentadbir negara selepas PRN.

Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick dilaporkan berkata, dakwaan kononnya terdapat cubaan bersama pihak tertentu untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan tidak timbul sama sekali meskipun enam negeri tewas dalam PRN 12 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2023 @ 10:57 PM