DATUK Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Ceramah Jelajah Perpaduan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi di Taman Tuanku Jaafar, di sini, malam ini. FOTO BERNAMA
DATUK Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Ceramah Jelajah Perpaduan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi di Taman Tuanku Jaafar, di sini, malam ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Seremban: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyeru seluruh rakyat di Negeri Sembilan memberi sokongan kepada calon daripada parti Kerajaan Perpaduan untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Beliau berkata dengan sokongan yang diberikan rakyat kepada kerajaan menerusi PRN, ia akan turut memperkuatkan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan termasuk di negeri ini.

"Mudah-mudahan dengan sokongan semua, kita dapat buat perubahan, saya harap sokongan kepada calon DUN Paroi Norwani (Ahmat)...kemenangan beliau akan memperkuatkan Kerajaan Negeri Perpaduan di negeri ini.

"Rekod Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar negeri ini antara yang baik dan harus diberikan sokongan padu kepada beliau," katanya ketika berucap pada Ceramah Jelajah Perpaduan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi di Taman Tuanku Jaafar, di sini, malam ini.

Sementara itu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), ketika berucap di Taman Ampangan, dekat sini, berharap gabungan PH-Barisan Nasional (BN) di Negeri Sembilan mampu menang dengan bergaya pada PRN kali ini sekali gus mengekalkan pentadbiran Kerajaaan Perpaduan.

"Bayangkan Anwar sekarang kempen untuk BN...tapi inilah semangat perpaduan tulen di negara kita. Tempat PH pun saya datang kempen, tempat BN pun saya kempen kerana ini semua calon saya," katanya.

Dalam pada itu, Anwar sekali lagi mengulangi tekadnya untuk menoktahkan kemiskinan tegar dalam negara meliputi semua lapisan masyarakat pada tahun ini membabitkan kira-kira 136,000 keluarga.

Beliau berkata usaha berkenaan pastinya membabitkan semua jentera kerajaan termasuk kementerian dan agensi selain anggota parti dalam Kerajaan Perpaduan yang perlu digerakkan segera bagi memuktamadkannya.

"Melayu, Cina, India kita mesti tolong semua. Pegawai daerah di semua kawasan tolong beritahu saya kalau ada seorang di daerah kamu (miskin tegar), catat nama dia..kalau ada senarai, Wanita UMNO sila beritahu saya...saya dah bagi ingatan kepada mereka.

"Tahun ini, saya nak pecah rekod, bukan rekod mercu tanda bangunan tertinggi di dunia, bukan jambatan megah, bukan kubu indah...tak guna ada kereta besar, rumah besar tapi kebajikan orang miskin tak ambil tahu. Ahli Parlimen PAS, Bersatu kata tak mungkin tapi saya kata kita kerah seluruh menteri dan jabatan kerajaan (untuk noktahkan kemiskinan)," katanya.

Sementara itu, Anwar, ketika berucap di Bandar Enstek, Labu di Nilai, menyuarakan keyakinannya kemenangan kepada Kerajaan Perpaduan pada PRN kali ini berikutan kebangkitan sokongan yang ditunjukkan rakyat terhadap kerajaan.

"Bagi peluang kita tadbir dengan baik, beri sokongan kepada calon BN dan PH...itu calon kita," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya negeri di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu serta Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Kuala Terengganu diadakan serentak pada 12 Ogos manakala pengundian awal pada 8 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2023 @ 1:09 AM