Zatul Iffah Zolkiply


Marang: Keputusan PAS melakukan perubahan jawatan menteri besar dan timbalannya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kelantan adalah untuk mewujudkan suasana dan semangat baharu di negeri.

Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perubahan perlu dilakukan memandangkan kedua-dua pemimpin terbabit sudah lama mentadbir Kelantan.

Beliau berkata, sudah masanya perubahan dilakukan bagi memberi peluang kepada pemimpin yang baharu selain permintaan daripada Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob sendiri yang mahu melepaskan jawatan berkenaan kerana faktor kesihatan.

"Menteri Besar mengundurkan diri kerana uzur bahkan dulu pun beliau minta merayu supaya tak dilantik (tetapi) kita minta lagi desak dan masa tengah-tengah bertugas pun dia minta (mengundur diri), (beliau) memang keuzuran, berapa kali masuk hospital kena rawatan.

"(Jadi) kali ini, kita pertimbang (kerana) kasihan kepada beliau dan (beliau) masih lagi menjadi wakil rakyat memberi sumbangan.

"Kita mahu supaya semangat baharu di Kelantan, ada perubahan dan sebab itu timbalannya juga diubah (dan) tidak ada (apa-apa isu) memanglah lama sangat memerintah 30 tahun, bila lama macam ini letihlah orang yang jalan tugas itu, mesti kena buat giliran," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai membuang undi di Sekolah Kebangsaan Rusila di sini hari ini.

Abdul Hadi juga berkata, pertukaran dua jawatan itu juga bergantung kepada perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

"Menteri Besar (dan) Timbalan ada pertukaran (tetapi) pengumuman itu bergantung kepada persetujuan Tuanku kerana perlantikan kerajaan ini membabitkan Tuanku, parti dan rakyat.

"Keputusan rakyat tak tahu lagi, lepas daripada rakyat (mengundi), parti sudah ada calon pun dan kita (akan) kemuka pada Tuanku dan perbincangan dengan Tuanku pun berlaku, insya-Allah.

"Insya-Allah, (dua calon ini) diterima oleh Tuanku, diterima oleh rakyat," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Timbalannya, Datuk Mohd Amar Abdullah akan digantikan dengan kepimpinan baharu sekiranya PAS berjaya mengekalkan pentadbiran di negeri itu pada pilihan raya negeri (PRN).

TAN Sri Abdul Hadi Awang selesai mengundi di DUN 19 Ru Rendang di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Rusila. FOTO BERNAMA
TAN Sri Abdul Hadi Awang selesai mengundi di DUN 19 Ru Rendang di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Rusila. FOTO BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2023 @ 11:13 AM