LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Hidayatidayu Razali


Pasir Puteh: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengulangi peringatan kepada Perikatan Nasional (PN) bahawa gabungan itu tidak boleh membentuk kerajaan walaupun menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini.

Beliau berkata, Kerajaan Perpaduan kini mempunyai seramai 148 Ahli Parlimen dan kalau mereka melompat parti, kerusi mereka akan kosong.

"Begitu juga Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak, semuanya terikat kepada Akta Anti Lompat Parti.

"Mereka (PN) tidak boleh membentuk kerajaan (Pusat) dengan adanya akaun bersumpah. Kalau ini pun tidak difahami oleh seorang Presiden sebuah parti (Tan Sri Abdul Hadi Awang).

"Sepatutnya dia (Abdul Hadi) memahami perkara yang (boleh) membentuk kerajaan secara demokratik dan saya harap apa yang berlaku di negeri-negeri ini memang tidak akan pernah berubah kedudukan Kerajaan Perpaduan di Putrajaya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Program Pemimpin Bersama Masyarakat di Kampung Nelayan Tok Bali di sini, hari ini.

Terdahulu, Presiden Pas sekali lagi mendakwa kemenangan PN dalam enam negeri pada PRN, 2 Ogos ini akan membolehkan berlaku perubahan dalam kerajaan Pusat dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata, dakwaan itu berdasarkan terdapat sokongan daripada Ahli Parlimen di dalam parti gabungan Kerajaan Perpaduan termasuk dari Sabah dan Sarawak yang akan menyokong PN jika gabungan memenangi PRN di enam negeri.

Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno, berkata kini Kerajaan Perpaduan ada 148 Ahli Parlimen dan kerusi di Pulai, Johor kosong selepas Datuk Seri Salahuddin Ayub meninggal dunia.

"Insya-Allah akan ada pilihan raya kecil dan kita akan memperkenalkan calonnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2023 @ 6:43 PM