KL City antara pasukan yang berdepan masalah tunggakan gaji. FOTO KL CITY FC
KL City antara pasukan yang berdepan masalah tunggakan gaji. FOTO KL CITY FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Masalah tunggakan gaji yang sering membelenggu Liga Malaysia (Liga M) sejak beberapa musim ini tampak semakin menemui 'penawar' bagi mengatasi isu terbabit.

Ia selepas Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kini semakin hampir melaksanakan Financial Fair Play (FFP) dalam liga domestik tidak lama lagi.

Menurut MFL, bagi proses pertama pelaksanaan FFP MFL musim ini, kesemua 13 kelab Liga Super perlu menghantar dokumen kewangan sebelum 16 Julai ini bagi tujuan semakan oleh Unit FFP MFL untuk dihantar kepada FFP FIB (First Instance Body).

Jelas badan pengelola itu lagi, jika terdapat kelab yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan maka FFP FIB boleh mengambil tindakan berdasarkan Peraturan FFP MFL Edisi 2024-2025 yang telah diberikan kepada semua kelab pada lalu.

"Pada bengkel yang diadakan pada Rabu lalu, Pengerusi Jawatankuasa FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif memberikan penerangan berkenaan objektif penubuhan Peraturan FFP MFL dalam memberikan kesan positif kepada kawalan kewangan kelab-kelab Liga M.

"Bengkel kemudian diteruskan dengan pembentangan 'MFL Football Clubs' 3 years of Financial Report Statistics' sebelum Cik Poovarni Rajagopal memberikan penjelasan berkenaan 'Introduction of E-Invoicing'," kata kenyataan MFL.

Arena Metro antara media yang tegas dalam melaporkan isu tunggakan gaji turut melihat pengenalan FFP antara kaedah membendung isu ini.

Menerusi laporan khas pada Ogos tahun lalu, pelaksanaan FFP dalam Liga M bukan sahaja dapat menyekat perbelanjaan 'tak ingat dunia' setiap pasukan, tetapi ia panduan perbelanjaan secara berhemah bagi memastikan tiadanya isu tunggakan gaji.

Untuk rekod, FFP satu mekanisme kawalan ke atas perbelanjaan kelab untuk memastikan akaun kelab kekal sihat daripada hutang melampau.

Ketika ini, terdapat hampir lima kelab Liga M menghadapi isu tunggakan gaji biarpun saingan 2024-2025 baharu saja membuka tirainya pada 10 Mei lalu.

Antara pasukan yang sedang berdepan masalah ini adalah Kuala Lumpur City FC (KL City) dan Perak FC, manakala Sabah FC difahamkan sudah menyelesaikan isu terbabit sementara satu pasukan di Utara dan Pantai Timur turut dikaitkan dengan 'virus' itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 5:25 PM