ABDUL Hadi Awang. FOTO Arkib NSTP.
ABDUL Hadi Awang. FOTO Arkib NSTP.
Zatul Iffah Zolkiply


Setiu: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sekali lagi mendakwa kemenangan Perikatan Nasional (PN) dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN),12 Ogos ini akan membolehkan berlaku perubahan dalam kerajaan Pusat dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, dakwaan itu berdasarkan terdapat sokongan daripada Ahli Parlimen di dalam parti gabungan Kerajaan Perpaduan termasuk dari Sabah dan Sarawak yang akan menyokong PN jika gabungan memenangi PRN di enam negeri.

Beliau mendakwa, ahli-ahli Parlimen terbabit hanya menunggu masa untuk menyokong PN untuk membentuk kerajaan pusat yang baharu termasuk sebahagian Ahli Parlimen Umno yang menyokong PN.

"Asal (ada) 10 ahli Parlimen Umno nak sokong kita, mungkin 15 (Ahli Parlimen) tapi mereka ini dipaksa, diugut yang ada kes nak bawa ke mahkamah menyebabkan orang Umno ini dalam ketakutan.

"Maka ditubuhkan Kerajaan Perpaduan dalam keadaan kacau-bilau, Kerajaan Perpaduan tapi balah sama sendiri, yang parti dalam kerajaan bantah kerajaan sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Mega PRN15 di Markas PAS Kampung Bukit Kecil Langkap di sini malam tadi.

Ceramah sama turut dihadiri empat calon Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Setiu iaitu calon DUN Jabi, Permaisuri, Langkap dan Batu Rakit.

Abdul Hadi berkata, pembentukan kerajaan Pusat baharu itu penting untuk menyelamatkan agama, bangsa dan negara di mana kemenangan PN pada PRN kali ini perlu bagi membolehkan perubahan berkenaan dilakukan.

Justeru, beliau mengingatkan semua petugas PAS untuk bekerjasama bagi memastikan kemenangan PN.

"Sebab itu saya harap petugas-petugas PAS ini bekerjasama sama ada di tempat PAS bertanding (atau) Bersatu bertanding untuk menangkan PN.

"Ini tujuan politik yang sangat besar untuk selamatkan agama, bangsa dan negara kita (agar) terus dipelihara oleh Islam…ini sangat penting, ini bukan kerja main-main, bukan kerja jual beli,bayar duit (tetapi) tanggungjawab yang sangat besar," katanya.

Sebelum ini, Anwar dilaporkan berkata, Kerajaan Perpaduan akan terus memerintah negara ini walaupun PN sibuk mendakwa perubahan tampuk pentadbiran akan berubah pada bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2023 @ 11:36 AM