NUR Jazlan. FOTO Arkib NSTP
NUR Jazlan. FOTO Arkib NSTP
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Masalah kekurangan dana yang dihadapi calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, adalah kifarah terhadap perbuatan menganiaya UMNO termasuk membekukan akaun parti itu sebelum ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed, mendakwa masalah yang dihadapi PN pada PRN yang sedang berlangsung itu juga adalah dosa-dosa politik parti yang mahu menghancurkan UMNO.

Dakwanya, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Pengerusi PN, Tun Mahathir Mohamad sebelum ini mahu menghancurkan UMNO, dengan pelbagai dakwaan dan siasatan terpilih yang akhirnya berbalik kepada mereka.

Beliau berkata, semua perbuatan BERSATU itu adalah satu kifarah atau hukum karma kepada Muhyiddin dan parti berkenaan yang sebelum ini menganiaya UMNO

"Akaun UMNO juga pernah dibekukan sebab siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas Presiden UMNO dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) namun akhirnya memang tiada kaitan UMNO dalam kes berkenaan.

"UMNO terpaksa berjuang dan berdepan dengan beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) dengan kantung yang kosong. Namun pemimpin dan orang UMNO tak adalah nak mengeluh sakan. Kita semua harungi semua dugaan itu dengan tabah dan akhirnya dapat juga menang lima daripada lapan PRK yang diadakan sepanjang 2019 hingga 2020.

"Jadi sekarang ini biarlah BERSATU dan PAS rasakan pula macam mana pedih serta sakitnya bila kena batang tubuh sendiri. Biarlah Muhyiddin cari cara lain untuk perkudakan PAS sepanjang PRN ini.

"BERSATU pun bukannya ada entera kempen, semuanya mereka harapkan jentera PAS untuk buat kerja kempen calon PN terutamanya calon BERSATU," katanya dalam kenyataan hari ini.

Isnin lalu, PAS Selangor dilaporkan mengakui pembekuan akaun BERSATU menyumbang kekangan besar kewangan 56 PN yang bertanding di negeri itu pada PRN.

Setiausahanya, Roslan Shahir Mohd Shahir dilaporkan berkata, bagaimanapun ia tidak membantutkan semangat gabungan berkenaan walaupun calon menggunakan dana sendiri

Pada 11 April lalu, SPRM dilaporkan memaklumkan bahawa dua akaun parti BERSATU yang sebelum ini dibekukan disita suruhanjaya berkenaan.

Akaun parti itu disita selepas mengemukakan perintah mengikut Seksyen 50 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).

Dalam pada itu, Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai berkata, apabila ada pemimpin PN termasuk daripada PAS dilaporkan mengeluh berikutan ketiadaan dana akibat akaun BERSATU dibekukan, ia mengiyakan selama ini PAS sememangnya mendapat peruntukan serta ditaja BERSATU.

"Jadi benarlah cerita-cerita sebelum ini yang dakwa BERSATU memang jadi 'banker' kepada PAS.

"Mungkin sebab itulah pemimpin PAS terutamanya Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang cukup sayangkan BERSATU hingga sanggup khianati UMNO dalam Muafakat Nasional," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2023 @ 1:20 PM