FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Hassan Omar
am@hmetro.com.my


Melaka: Belum ada perbincangan formal antara PAS dengan UMNO Melaka berhubung pembahagian kerusi dalam Muafakat Nasional (MN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) 20 November ini.

Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Kamarudin Sidek berkata, apa yang berlaku hanyalah perbualan biasa dengan sahabat UMNO di kedai kopi berkaitan situasi politik semasa di negeri ini.

Sehubungan itu, PAS masih menanti jemputan rasmi daripada UMNO untuk berbincang dan bersedia memberikan kerjasama bagi memastikan kesejahteraan politik masyarakat Melayu dan Islam.

"Belum ada lagi (perbincangan rasmi), yang ada sekarang hanyalah borak dengan kawan-kawan UMNO di kedai kopi," katanya ketika dihubungi tadi.

Sehubungan itu, beliau menolak desas-desus kononnya PAS sudah mengadakan perbincangan secara sulit dengan UMNO mengenai pembahagian kerusi yang bakal ditandingi.

Sebaliknya, beliau menjelaskan, PAS sudah berbincang dengan BERSATU dalam Perikatan Nasional (PN) Melaka mengenai pembahagian kerusi dan bakal dimuktamadkan tidak lama lagi.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin, bahawa PN akan bertanding di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekadar untuk 'menguji gelanggang perang'.

Katanya, Muhyiddin dipercayai cuba menimbulkan provokasi terhadap UMNO sekadar untuk menguji situasi politik menjelang penamaan calon pada 8 November ini.

Muhyiddin dilaporkan berkata, PN sudah menjangkakan keputusan UMNO enggan bekerjasama dengan BERSATU tetapi mengambil pendekatan berhemah untuk menunggu UMNO menyatakan pendirian.

Muhyiddin dipetik berkata, rundingan dalam kalangan parti PN, termasuk PAS dan GERAKAN akan diadakan segera untuk memastikan kemenangan gabungan itu dalam PRN.

Mengulas lanjut, Kamarudin berkata, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah 'mengendurkan tali yang sebelum ini ditarik tegang' apabila menyatakan kerjasama UMNO dengan PN akan dibawa ke perbincangan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Ahmad Zahid dilaporkan berkata, keputusan muktamad kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dengan PN akan diumumkan apabila mesyuarat Biro Politik dan MKT yang diikuti dengan mesyuarat Dewan Tertinggi BN sebelum penamaan calon.

Sehubungan itu, Kamarudin berkata, PAS sentiasa bersedia memberikan kerjasama kepada mana-mana parti yang ingin memelihara kepentingan Melayu dan Islam.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Kamarudin yang bertanding di DUN Duyong tewas kepada Damian Baba Yoe dari DAP.

PAS Melaka bertanding di 24 daripada 28 kerusi DUN Melaka pada pilihan raya berkenaan tetapi tidak menang walau satu kerusi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 1:42 PM