GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Juwan Riduan


Keningau: Seorang petani parah selepas senapang buatan sendiri jenis bakakuk meletup dan terkena tangan kiri dan dadanya ketika memburu di kawasan kebun Kampung Panganitan, Nabawan, di sini, semalam.

Lelaki tempatan berusia 28 tahun yang parah putus empat jari tangan kiri selain patah tulang rusuk kiri kini dirawat di Hospital Keningau.

Ketua Polis Daerah Keningau Superintendan Yampil Anak Garai berkata, siasatan awal mendapati lelaki terbabit dikatakan keluar memburu ke kebun Kampung Panganitan, dengan berjalan kaki dan membawa senapang bakakuk.

Katanya, lelaki itu bergerak sendiri dan lokasi kejadian cuma berjarak kira-kira tiga kilometer dari kampungnya.

"Ketika sedang berjalan menuruni kawasan cerun bukit, lelaki itu tergelincir lalu picu bakakuk terganggu dan mengakibatkan letupan yang mengenai tangan kiri dan dadanya.

"Lelaki itu terbaring dalam keadaan kesakitan dan mengikat lengan sebelah kiri bagi mengelakkan pendarahan yang lebih teruk," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, abang kandung lelaki itu yang bimbang kerana adiknya belum pulang ke rumah sejak keluar memburu mengambil keputusan untuk keluar mencarinya di kawasan hutan.

"Tidak lama selepas itu, lelaki itu ditemukan dalam keadaan lemah lalu abangnya bertindak membawa ke Klinik Kesihatan Nabawan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Keadaan mangsa stabil dan masih menerima rawatan di dalam wad Hospital Keningau untuk pemantauan rapi," katanya.

Katanya, susulan kejadian itu, polis merampas satu laras senapang buatan sendiri jenis bakakuk berserta kelongsong peluru tabur dalam chamber.

"Turut dirampas sebutir kelongsong peluru tabur warna hitam. Siasatan mendapati senapang bakakuk itu diwariskan oleh neneknya sejak dua tahun lalu untuk tujuan menjaga kawasan kebun mereka dari serangan babi hutan," katanya dan memaklumkan kes disiasat Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 9:27 PM