AZMIN ALI.
AZMIN ALI.
Hassan Omar


Masjid Tanah: Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamad Azmin Ali mendakwa, ramai pemimpin dan akar umbi Umno mahu parti itu bekerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.

Beliau mendakwa, mereka ingin melihat masyarakat Melayu bersatu bagi memastikan kuasa politik orang Melayu kekal dalam PRN, sekali gus gambaran harapan mereka menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bagaimanapun, beliau menegaskan, PN dan Bersatu tidak mahu mencampuri hal ehwal dalaman Umno tetapi menghormati pandangan pemimpin dan akar umbi terbabit.

"Pandangan Presiden Umno (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu adalah pandangan beliau.

"Bagaimanapun, saya dapat banyak maklumat pemimpin dan akar umbi Umno, mereka mahu diwujudkan kerjasama dengan Bersatu tetapi itu adalah masalah dalaman Umno dan kami tidak mahu campur," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program perjumpaan dengan jentera pilihan raya PN Bahagian Masjid Tanah, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Bersatu Bahagian Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Pesuruhjaya PAS Kawasan Masjid Tanah, Imran Abdul Rahman dan Ketua Gerakan Bahagian Masjid Tanah, Lee Kong.

Katanya, Umno perlu membuat keputusan muktamad sama ada mahu bekerjasama atau sebaliknya dan biar rakyat membuat pilihan.

Sebelum ini, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, Umno sudah muktamad tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam PRN Melaka dan ia disambut dengan kenyataan Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, PN akan bertanding di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Muhyiddin dilaporkan berkata, Bersatu sudah menjangkakan keputusan Umno enggan bekerjasama namun mengambil pendekatan berhemah menunggu parti itu menyatakan pendirian.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin menegaskan, PN dan Bersatu tidak pernah menutup pintu kepada perbincangan dengan mana-mana parti, termasuk Umno jika parti berkenaan mahu berbincang sebelum penamaan calon pada 8 November ini.

Beliau berkata, PN akan mengumumkan pembahagian kerusi dalam kalangan komponen PN terutama Bersatu dan PAS tidak lama lagi.

Ditanya sama ada pembahagian 28 kerusi itu sama rata antara Bersatu dan PAS, beliau berkata, perbincangan lanjut sedang dijalankan dan akan diputuskan tidak lama lagi.

"PAS ada kekuatan sendiri, mereka sudah lama ada di Melaka dan kita ada Gerakan yang mewakili semua, manakala Bersatu parti baharu tetapi kita ada rekod cemerlang mentadbir negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 2:46 PM