Perhimpunan Agung UMNO. FOTO ARKIB NSTP
Perhimpunan Agung UMNO. FOTO ARKIB NSTP
Oleh Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak perlu dipertandingkan sebaliknya fokus perlu diberikan kepada usaha mengukuhkan parti serta mengembalikan semula kepercayaan rakyat.

Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed, turut mengingatkan ahli parti supaya tidak terpedaya dengan sesetengah Ahli Parlimen yang menang kerusi di bawah tiket parti namun didakwa khianat dan bersekongkol dengan pihak lawan.

Malah katanya, Ahli Parlimen berkenaan diketahui sudah menggerakkan usaha mengangkat diri mahu menjadi Presiden dan Timbalan Presiden UMNO sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu lagi.

"Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak perlu dipertandingkan demi pengukuhan parti, perpaduan dan ke arah usaha pemulihan sokongan terhadap UMNO.

"Ahli UMNO diingatkan supaya tak terpedaya dengan sesetengah Ahli Parlimen yang menang bawah tiket UMNO namun ibarat kacang lupakan kulit. Bukan sahaja ada yang melompat malah lebih teruk, khianat kepada parti dengan bersekongkol dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

"Baik kita fokus kepada macam mana nak kukuhkan kembali UMNO dan mengembalikan semula kepercayaan rakyat selepas parti difitnah teruk selama ini.

"Lagipun dengan kedudukan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pembangunan Desa dan Wilayah, ia adalah platform terbaik untuk mendekati dan membina semula keyakinan penduduk luar bandar terhadap keupayaan UMNO membela rakyat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Minggu lalu, Ahmad Zahid dilaporkan berkata sama ada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO dipertandingkan atau tidak akan ditentukan perwakilan.

Dalam pada itu, Nur Jazlan turut mempersoalkan siapa calon yang mahu diangkat menjadi Presiden dan Timbalan Presiden jika dua jawatan itu dipertandingkan pada pemilihan UMNO yang dijangka diadakan pertengahan tahun ini.

"Kita kena fikirkan banyak benda sebelum nak ikut emosi. Cakap nak tukar pemimpin memang senang tapi nak pastikan pemimpin yang baharu angkat itu dapat bela nasib parti, belum tentu," katanya.

Nur Jazlan berkata, pertandingan dua jawatan utama itu dalam keadaan sekarang hanya akan membawa perpecahan dan menggugat perpaduan ketika UMNO dalam proses pemulihan selepas PRU15.

Katanya, jika disorot sejarah penubuhan 70 tahun UMNO, hanya empat kali berlaku pertandingan untuk jawatan Presiden membabitkan Tunku Abdul Rahman dan Ahmad Fuad Hassan (1951); Tun Hussien Onn dan Sulaiman Palestin (1978); Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh Tengku Mohd Hamzah (Ku Li) (1987) dan Ahmad Zahid dan empat pencabar (2018).

"Kita boleh lihat setiap kali berlaku pertandingan jawatan Presiden, pastinya berlaku perpecahan dalam UMNO.

"Adakah kita sanggup nak lihat sekali lagi UMNO berpecah dan ada puak-puak atau dua pasukan seperti 40 tahun lalu?

"UMNO sudah banyak kali berpecah bermula dengan wujudnya PAS, Semangat 46, PKR dan BERSATU. UMNO tak mampu nak terima perpecahan besar sekali lagi kerana kalau kita pecah lagi maka jangka hayat UMNO tak akan lama.

"Proses tolak ansur itu jugalah yang menjamin kestabilan dan pengukuhan UMNO sehinggalah pada 2018 apabila ada pencabar yang mahukan jawatan Presiden selepas UMNO serta BN (Barisan Nasional) kalah pada PRU14," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2023 @ 11:26 AM