Oleh Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Walaupun kaki kiri terpaksa dipotong akibat kencing manis dua tahun lalu namun Faiza Asmue, 59, tetap tabah menjaga suaminya, Noor Salihi Md Noor, 57, yang menghidap angin ahmar.

Wanita itu hanya bergerak menggunakan kerusi roda untuk memasak serta menyediakan minuman selain menguruskan rumah tangga kerana suaminya sakit sejak lima tahun lalu.

Malah, wanita itu sekali lagi diuji apabila disahkan menghidap barah payu dara awal bulan ini selepas menyedari terdapat ketulan di payu dara kanan.

"Saya terpaksa menjalani pembedahan segera membuang ketulan payu dara kanan 24 Ogos lalu dan kini saya perlu berehat di rumah.

"Mungkin selepas ini saya mengalami kesukaran untuk melakukan kerja harian di rumah kerana banyak menggunakan tangan kanan dan pembedahan pula di bahagian kanan," katanya ketika ditemui di Taman Muhibbah, Jalan Sultanah di sini, hari ini.

Menurut Faiza, kaki kirinya terpaksa dipotong pada 2021 namun reda dengan apa yang dilaluinya kerana penyakit itu disebabkan faktor keturunan.

"Sebelum ini saya dan suami masing-masing bekerja bank tetapi saya berhenti kerja pada 2006 manakala suami pula berhenti sejak 1997.

"Namun ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020, kami berniaga ayam goreng di hadapan rumah.

"Kaki kiri saya terpaksa dipotong akibat kencing manis malah sebelum ini, saya kehilangan dua jari kaki kanan akibat penyakit ini," katanya.

Faiza berkata, suaminya sebelum ini tidak dapat bergerak hampir tiga bulan namun selepas menjalani rawatan fisioterapi, dia mampu bergerak dengan menggunakan tongkat, namun tidak boleh berdiri lama.

Katanya, dia reda dengan ujian dilaluinya namun bersyukur kerana masih diberi kekuatan untuk bersama suami dan keluarga sehingga hari ini.

"Sekarang suami sudah boleh bergerak ke bilik air sendiri walaupun berjalan perlahan menggunakan tongkat.

"Segala wang simpanan kami juga sudah habis digunakan untuk rawatan di hospital serta pembedahan selain membayar pinjaman rumah dan sebagainya.

"Nak harap anak-anak pun saya faham keadaan ekonomi sekarang tidak menentu dan mereka pula tinggal berjauhan kerana bekerja, cuma seorang saja anak lelaki tinggal dengan kami," katanya.

Faiza berkata, jika anaknya keluar bekerja, dialah yang menguruskan semua urusan di rumah.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Islam di 02011024437669 atas nama Faiza Asmue.

Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM) Zuraini Kamal ketika mengunjungi pasangan itu menyerahkan sumbangan wang tunai, telekung dan barangan keperluan dapur untuk kegunaan mereka.

Katanya, pasangan itu perlu dibantu kerana mereka memerlukan wang yang banyak untuk rawatan yang agak panjang.

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2023 @ 1:50 PM
Faiza melakukan tugas harian dengan cekal walaupun dalam keadaan kekurangan. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Faiza melakukan tugas harian dengan cekal walaupun dalam keadaan kekurangan. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI