RAKAMAN yang tular di media sosial. FOTO tular
RAKAMAN yang tular di media sosial. FOTO tular
Alias Abd Rani

Batu Pahat: Lelaki yang ditahan polis kerana memandu melawan arus di Jalan Ayer Hitam-Kluang, di sini, 6 Julai lalu, mendakwa dia mengantuk selepas mengambil enam jenis ubat diberikan doktor atas sebab masalah kesihatan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, suspek berusia 46 tahun mengaku memandu dalam keadaan mengantuk kerana mengambil enam jenis ubat dan terdapat dokumen perubatan milik lelaki terbabit yang menunjukkan dia menghidap masalah jantung.

"Saringan ujian air kencing mendapati suspek negatif sebarang bahan terlarang," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan orang lain.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan polis menahan seorang lelaki selepas memandu dalam keadaan merbahaya dengan melawan arus di Jalan Ayer Hitam-Kluang yang tular di media sosial.

Shahrulanuar Mushaddat dilaporkan berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika suspek memandu kenderaan dari Ayer Hitam menuju ke Parit Raja, di sini, pada jam 5 petang, 6 Julai lalu.

Beliau berkata, polis mengesan video berdurasi 30 saat yang memaparkan kereta dipandu lelaki itu tiba-tiba memasuki laluan bertentangan.

"Bertindak melalui siasatan dan berdasarkan kamera papan pemuka, suspek dikesan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPTD), Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat pada jam 3 petang keesokan hari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 12:03 PM