Junaidi Awang dan isterinya bersama tiga anak mereka di rumah mereka di Bandar Perda, Bukit Mertajam. FOTO Nur Izzati Mohamad
Junaidi Awang dan isterinya bersama tiga anak mereka di rumah mereka di Bandar Perda, Bukit Mertajam. FOTO Nur Izzati Mohamad
Oleh Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Suami isteri yang diuji dengan penyakit kronik buntu memikirkan kos rawatan dan sara hidup yang perlu ditanggung kerana tidak dapat bekerja.

Junaidi Awang Kechik, 48, yang menghidap kencing manis sehingga terpaksa menjalani pembedahan kaki kiri sejak tiga tahun lalu dan isterinya, Noraniza Ismail, 46, menderita kanser payu dara tahap tiga menampung hidup dengan bantuan zakat RM500 sebulan serta hasil jualan mi kari yang tidak menentu.

Menurut Noraniza, kehidupan mereka sekeluarga berubah sekelip mata apabila suaminya dimasukkan ke hospital ekoran penyakit dialami.

"Pada mulanya, kaki suami luka hanya kerana terpijak dawai kokot tetapi entah bagaimana ia melarat dan menyebabkan perlu menjalani pembedahan.

"Selepas pembedahan, kudrat suami sudah tidak kuat dan dia berjalan perlu menggunakan sokongan tongkat serta bantuan kerusi roda yang menyebabkan saya berhenti kerja kilang untuk menjaganya.

"Ketika itu, saya mengambil jalan menjual nasi berlauk di hadapan sebuah sekolah dekat rumah kami untuk menampung perbelanjaan tetapi ia tidak lama kerana saya pula diuji dengan penyakit kanser payu dara yang dikesan sejak tahun lalu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Bandar Perda di sini, semalam.

Noraniza berkata, kini dia hanya mengharapkan bantuan anak sulung lelakinya yang berusia 23 tahun apabila menjual mi kari demi kelangsungan hidup.

"Itu pun saya perlu tolong memasak dan anak lelaki saya akan keluar menghantar ke kedai-kedai terdekat. Hasil jualan pula tidak menentu.

"Adik beradik ada membantu tetapi mereka juga bukan orang senang. Begitu juga dengan jiran yang menghulurkan bantuan tetapi sampai bila kami perlu mengharapkan bantuan mereka," katanya.

Menurutnya, suami dan anak keduanya yang berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) berusia tujuh tahun turut memerlukan lampi pakai buang," kata ibu tiga anak itu.

Jelasnya, dia dan suaminya juga setiap bulan perlu berulang alik ke hospital bagi menjalani rawatan serta pemeriksaan susulan ekoran penyakit mereka.

"Seperti saya kena menjalani rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) manakala suami pula di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan Hospital Bukit Mertajam (HBM)

"Kini kedua-dua mata suami saya pula perlu dibedah memandangkan selaput menjejaskan penglihatannya yang memerlukan kos RM2,000 tetapi kami tidak mampu membiayainya, apatah lagi sewa rumah, kos rawatan dan perbelanjaan lain cecah lebih RM1,000 hingga makan pun kami terpaksa catu," katanya.

Dalam pada itu, Junaidi berkata, dia yang banyak bekerja sendiri tidak layak menerima bantuan pencen ilat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

"Bagaimanapun dari sudut bantuan lain contohnya seperti perubatan, Perkeso dapat bantu saya. Cuma sekarang kami risau berkenaan kos sara hidup memandangkan kami tidak lagi dapat bekerja," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga ini boleh menyalurkan kepada akaun Maybank Noraniza Ismail 152108008392.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 1:34 PM