Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Penderitaan yang ditanggung seorang wanita yang menghidap kanser payu dara sejak hampir enam tahun lalu bagaikan jatuh ditimpa tangga apabila suaminya pula disahkan kanser usus tahap empat, awal bulan ini.

Latifah Din, 60, disahkan menghidap kanser payu dara sejak tahun 2018 dan sudah menjalani pembedahan mastektomi (membuang payu dara) kanan selain menjalani 15 kali rawatan kemoterapi di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Suri rumah itu yang masih menjalani rawatan kanser turut menghidap penyakit kencing manis menyebabkannya tidak berdaya untuk melakukan kerja berat.

Namun, dia reda menempuh ujian Allah apabila suaminya, Che Ani Ali, 71, pula disahkan menghidap kanser usus tahap empat pada 1 Februari lalu.

"Pada mulanya suami mengalami masalah sakit di bahagian perut dan sukar membuang air besar sejak tahun lalu, selepas pemeriksaan kesihatan, doktor hanya beri ubat angin padanya.

"Namun lama kelamaan dia tidak mampu menahan sakit dan menjalani pemeriksaan lanjut di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB)," katanya ketika ditemui di rumahnya di Flat Taman Setia Jaya, di sini, hari ini.

LATIFAH yang menghidap kanser payu dara menyuap susu kepada suaminya, Che Ani yang menghidap kanser usus tahap empat. FOTO Zuliaty Zulkiffli
LATIFAH yang menghidap kanser payu dara menyuap susu kepada suaminya, Che Ani yang menghidap kanser usus tahap empat. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Latifah berkata, suaminya menjalani ujian endoskopi namun penyakit itu tidak dapat dikesan pada mulanya.

Katanya, selepas ujian sama kali kedua dilakukan, barulah doktor mengesahkan suami menghidap kanser usus tahap empat (paliatif).

Menurut Latifah, suaminya turut menghidap penyakit jantung dan mempunyai masalah jika menjalani rawatan kemoterapi.

Katanya, dia perlu dirujuk kepada doktor pakar HSB terlebih dahulu, 5 Mac ini sebelum menentukan sama ada sesuai atau tidak menjalani kemoterapi.

"Akibat kencing manis, sebelah penglihatan saya kabur malah saya dan suami tidak boleh melakukan kerja berat.

"Hidup kami berdua macam inilah, kalau suami ada temujanji di hospital, saya akan menemaninya dan begitulah sebaliknya," katanya yang tidak mempunyai anak melalui perkahwinan kedua ini.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui Bank Simpanan Nasional 0200141000051796 Latifah Din atau menghubunginya di talian 0194586335 atau 01133350517.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2023 @ 11:43 AM