Orang ramai berdiri di tebing tapak pelupusan sampah selepas penemuan enam mayat wanita di Makuru, Nairobi. - FOTO AFP
Orang ramai berdiri di tebing tapak pelupusan sampah selepas penemuan enam mayat wanita di Makuru, Nairobi. - FOTO AFP
AFP

Nairobi: Polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah untuk menyuraikan orang ramai yang marah selepas penemuan enam mayat wanita yang dicacatkan dalam timbunan sampah di tapak pelupusan, berhampiran balai polis.

Berikutan penemuan itu, polis Kenya melancarkan siasatan bagi mengenal pasti suspek yang meninggalkan kesemua mayat di tapak pelupusan berhampiran kawasan setinggan di Makuru, selatan Nairobi.

Direktorat Siasatan Jenayah dalam satu kenyataan berkata, kesemua mayat dipercayai wanita berada dalam pelbagai peringkat penguraian.

"Mayat itu dibalut dengan kertas nilon yang diikat dengan tali nilon," katanya.

Saksi sebelum ini melaporkan bahawa sembilan mayat lelaki dan wanita telah ditemui.

Imej di televisyen tempatan menunjukkan orang ramai berkumpul di atas kuari dan menggunakan tali untuk menarik guni plastik berisi mayat manusia daripada air yang dipenuhi sampah.

Pejabat Pengarah Pendakwaan Awam berkata, pihaknya sangat bimbang dengan penemuan itu yang menunjukkan pencabulan hak asasi manusia yang serius memandangkan tapak pelupusan itu hanya beberapa meter dari balai polis.

Ia telah mengarahkan polis menyerahkan hasil siasatan mereka dalam tempoh 21 hari, dan juga menggesa agensi negeri termasuk badan penyelia polis untuk mempercepatkan siasatan terhadap laporan kehilangan dan kematian secara paksa yang didakwa dilakukan oleh polis.

Polis Kenya sedang dalam penelitian berhubung kematian berpuluh-puluh orang semasa protes antikerajaan bulan lalu dan laporan penculikan penunjuk perasaan.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kenya, sebuah pertubuhan bukan kerajaan berkata, sejumlah lapan mayat telah ditemui pada Jumaat.

"Kami menggesa siasatan menyeluruh untuk menentukan punca kematian ini dan mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab," katanya.

Detektif pembunuhan dan pegawai forensik berada di tempat kejadian, sebuah kuari terbiar yang dipenuhi air dan digunakan sebagai tempat pembuangan sampah.

"Kami memerlukan jawapan daripada polis kerana ini adalah sesuatu yang perlu disiasat dengan cepat," kata Lucy Njambi, yang tinggal di Mukuru.

"Memang mengejutkan apa yang saya lihat. Mayat disembunyikan dalam guni dan dibuang di tapak pelupusan."

Katanya, siasatan awal mencadangkan semua mangsa telah dibunuh dengan cara yang sama, tanpa mengulas lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 12:02 PM