LAPORAN disiarkan portal berita Harian Metro, hari ini.
LAPORAN disiarkan portal berita Harian Metro, hari ini.
Mohd Rafi Mamat


JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Pekan sedia menyelesaikan masalah dihadapi remaja orang kurang upaya (OKU) Muhammad Daniel Haikal Hasdi yang tidak dapat memanfaatkan kaki palsu diberikan kerana mendatangkan luka dan berdarah.

Pegawainya Zulkifli Mahmud berkata, pihaknya akan bertemu ibu bapa pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lepar itu untuk mendapatkan penjelasan sebenar sehingga remaja terbabit tidak dapat menggunakan kaki palsu diberi kepadanya.

Beliau berkata, pihaknya akan menasihatkan kepada bapa remaja berkenaan, Hasdi Mat Sidek dan ibunya, Noraziatul Azida Zainuddin supaya menghubungi syarikat yang membuat kaki palsu anaknya untuk mencari jalan penyelesaian.

"Saya yakin syarikat terbabit dapat memberi kerjasama dengan membaiki kaki palsu terbabit bagi membolehkan dia (Muhammad Daniel Haikal) menggunakannya dengan selesa.

"Kami memandang serius masalah dihadapi remaja terbabit yang kini terpaksa menggunakan tongkat untuk ke sekolah selepas kaki kanannya yang cacat dipotong tahun lalu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hari ini, Harian Metro menyiarkan mengenai Muhammad Daniel Haikal yang dilahirkan cacat kaki kanan yang tidak dapat menggunakan kaki palsu diberikan JKM disebabkan tulang kaki yang dipotong tahun lalu, kini memanjang seperti insan normal.

Setiap kali memakai kaki palsu itu, kaki kanannya luka dan berdarah hingga menimbulkan pelbagai masalah dan remaja berkenaan lebih rela bergerak menggunakan tongkat bahu untuk ke sekolah dan berkerusi roda di rumah.

Zulkifli berkata, kes dihadapi pelajar terbabit jarang berlaku terutama selepas mendapat nasihat doktor pakar di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

Beliau berkata, pihaknya tidak pasti punca menyebabkan tulang kaki kanan Muhammad Daniel Haikal yang dipotong tahun lalu begitu cepat memanjang hingga menyebabkan dia tidak boleh menggunakan kaki palsu baharu diterimanya.

"Namun, kami sedia membantu dengan menyediakan kaki palsu baharu yang sesuai terutama selepas mendapat nasihat doktor pakar yang merawat remaja terbabit.

"Masa hadapan Muhammad Daniel Haikal perlu diberi perhatian supaya dia tidak mudah putus asa dan sokongan moral penting untuk memastikan dia berjaya dalam pelajaran," katanya.

Berita berkaitan

'Aduh sakitnya kakiku'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2018 @ 10:11 PM