HELEN Denmark berusia 108 tahun. FOTO Agensi
HELEN Denmark berusia 108 tahun. FOTO Agensi
Agensi

Washington: Seorang wanita Alabama, Amerika Syarikat (AS) yang menyambut hari lahirnya yang ke-108 tahun, baru-baru ini memberikan 'petua gila' bagaimana dia mengekalkan dirinya untuk sentiasa berasa muda.

Minum minuman keras, makan pencuci mulut dan menggoda lelaki bermisai, itu petua yang diberikan Helen Denmark yang genap berusia 108 tahun Ahad lalu.

United Press International (UPI) melaporkan Helen diraikan dalam pesta yang diadakan oleh rakan dan penjaganya di Brookdale Assisted Living di Birmingham.

Denmark berkata, dia tidak berasa lebih tua sejak berusia 107 tahun.

"Saya kekal berasa muda dengan minum wain (minuman keras), makan pencuci mulut dan menggoda lelaki bermisai," katanya kepada WDHN-TV semasa ditemubual wartawan televisyen itu.

Warga emas itu berkata dia masih berasa sihat dan kuat.

"Saya rasa baik-baik saja. Saya (rasa) akan berada di sini sehingga berusia 110 tahun," katanya.

Biro Bancian AS menganggarkan terdapat kira-kira 101,000 orang berusia 100 tahun ke atas tinggal di negara itu setakat Januari.

Berdasarkan data, biro itu menyatakan jumlah itu dijangka meningkat empat kali ganda kepada kira-kira 422,000 orang menjelang 2054.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 12:02 PM