SAIFUL (kanan) dan Wan Azwan Azwari mengagihkan jualan Kombo Madani pada program Jualan Agro Madani (JAM) di Pangkalan Udara Kuantan. FOTO Mohd Rafi Mamat
SAIFUL (kanan) dan Wan Azwan Azwari mengagihkan jualan Kombo Madani pada program Jualan Agro Madani (JAM) di Pangkalan Udara Kuantan. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Pahang memperluaskan program Jualan Agro Madani (JAM) ke kompleks pentadbiran kerajaan, kem tentera dan kuarters polis di negeri ini.

Pengarah FAMA, Saiful Sadri berkata, sebelum ini program JAM lebih tertumpu untuk membantu meringankan beban berpendapatan rendah dan golongan B40 di bandar, taman perumahan dan kampung.

Menurutnya, kerajaan mewujudkan program JAM untuk membantu rakyat, justeru usaha berkenaan tidak mencapai matlamat sekiranya program sama tidak disediakan untuk kakitangan kerajaan termasuk anggota tentera dan polis.

"Bermula bulan ini kita mengadakan program JAM di kem tentera sebelum diperluaskan ke kuarters polis di setiap daerah. Sepanjang bulan ini sebanyak 11 program JEM di kawasan komuniti seperti Pasar Tani dan Agrobazaar Rakyat di negeri ini.

"Kita percaya anggota tentera, polis dan kakitangan awam turut inginkan kemudahan yang disediakan kerajaan terutama membabitkan keperluan harian pada harga istimewa," katanya pada Program JAM di Pangkalan Udara Kuantan, di sini, semalam.

Hadir sama, Komander Pangkalan Udara Kuantan, Brigedier Jeneral Wan Azwan Azwari Wan Ali.

Saiful berkata, bermula bulan ini, Fama Pahang akan menjelajah ke seluruh negeri bagi mengadakan program JAM ke semua kem tentera, kuarters polis dan pasukan keselamatan.

Beliau berkata, program JAM membekalkan produk segar, barang kawalan dan produk keperluan asas terpilih dengan penjimatan antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran setempat produk terpilih seperti sayur, buah, ayam, ikan, daging, telur dan barangan runcit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2023 @ 12:55 PM