ANTARA barangan yang dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan IPK
ANTARA barangan yang dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan IPK
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Tawar pinjaman wang tanpa lesen dan mengaut keuntungan besar dengan mengenakan kadar faedah 10 hingga 20 peratus seminggu kepada setiap peminjam.

Kegiatan sindiket along yang beroperasi di sebuah kondominium mewah di Jalan Tun Perak di sini, terbongkar hasil serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, 12.40 tengah hari kelmarin.

Ketua Polis negeri, Datuk Zainol Samah berkata, serbuan Op Vulture itu dilakukan Unit Risikan Operasi JSJK IPK Melaka hasil maklumat dan risikan berkaitan sindiket along rentas negeri yang menyasarkan pelanggan di sekitar Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Johor dan Melaka.

Menurutnya, hasil serbuan polis menahan tujuh individu terdiri daripada enam lelaki dan seorang perempuan tempatan berumur antara 18 hingga 48 tahun.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan, pihaknya turut merampas barang kes iaitu 14 unit telefon bimbit pelbagai jenama, tiga unit komputer meja, seunit komputer riba dan 21 kad juruwang automatik (ATM) serta wang tunai RM1,213.

"Hasil pemeriksaan dan penelitian barang kes mendapati sindiket ini terbabit menawarkan pinjaman wang tanpa lesen di premis berkenaan sejak enam bulan lalu.

"Modus operandi mereka adalah mengiklankan tawaran pinjaman menerusi laman Facebook dengan menggunakan nama profil 'Ling Ai', 'Yati Lee', 'Vivian Tan' dan 'Nicole Len'.

"Pelanggan yang berminat kemudiannya dihubungi sindiket melalui aplikasi WhatsApp bagi mendapatkan butiran peribadi mereka sebelum membuat transaksi pindahan wang pinjaman secara dalam talian ke akaun bank pelanggan mereka," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Zainol, sindiket terbabit menawarkan pinjaman wang antara RM500 hingga RM5,000 kepada pelanggan mereka dengan mengenakan kadar faedah antara 10 hingga 20 peratus seminggu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil semakan mendapati empat daripada suspek mempunyai pelbagai rekod kesalahan jenayah lampau termasuk mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Pencegahan Jenayah, Akta Pertaruhan 1953, penipuan (Seksyen 420/120B Kanun Keseksaan) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Mereka kini direman empat hari bermula semalam hingga Sabtu ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 kerana kesalahan menjalankan perniagaan memberikan pinjaman wang tanpa lesen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 7:46 AM