REAKSI Martinez dan pemain Portugal selepas tamat perlawanan dengan Georgia.
REAKSI Martinez dan pemain Portugal selepas tamat perlawanan dengan Georgia.
Reuters

Gelsenkirchen, Jerman: Pengurus Portugal Roberto Martinez kecewa dengan prestasi skuad simpanannya selepas dimalukan Georgia dengan kekalahan 0-2 dalam aksi Kumpulan F di Euro 2024, awal pagi tadi.

Dengan Portugal mengesahkan kemaraan lebih awal ke peringkat 16 terakhir, Martinez hanya menurunkan tiga pemain daripada skuad yang menewaskan Turkiye termasuk Cristiano Ronaldo.

Tetapi harapan Martinez untuk melihat mereka mempamerkan prestasi terbaik bagi mencerahkan peluang beraksi menentang Slovenia tidak kesampaian selepas Portugal tewas mengejut.

"Kekalahan tidak sepatutnya. Kami bermula dengan intensiti rendah. Kami melepaskan gol awal dan itu yang diperlukan Georgia," kata Martinez kepada wartawan.

"Kami gagal memanfaatkan sebaiknya hantaran terakhir dan tumpul di depan gol manakala penjaga gol mereka beraksi cemerlang. Kami cuba menjaringkan gol tetapi gagal dan keyakinan Georgia meningkat. Mereka berhak menang.

"Hari ini saya memberikan peluang kepada pemain lain untuk tunjukkan kemampuan tetapi mereka gagal menepati apa yang saya mahu. Malam ini saya rehatkan Ruben Diaz, Bernardo (Silva) atau Bruno Fernandes."

Ribuan penyokong Georgia meraikan kejayaan pasukan mereka yang menduduki ranking ke-74 dunia menewaskan juara 2016 pada malam mengecewakan buat Ronaldo.

Dia gagal menjaringkan gol buat kali pertama dalam kariernya pada peringkat kumpulan di kejohanan utama sejak Euro 2004.

Walaupun tewas, Martinez berkata kekalahan itu satu pengajaran kepada pasukannya. "Kami tak memandang mudah Georgia tetapi Georgia beraksi untuk mencipta sejarah. Kami pula beraksi ketika kami sudah berada di puncak kumpulan.

"Sukar untuk kami mengekalkan intensiti. Kekalahan hari ini membolehkan kami mempersiapkan diri dengan lebih baik. Saya melakukan tujuh atau lapan pertukaran daripada aksi terakhir terakhir. Saya mahu semua pemain bersedia dengan sebaiknya untuk aksi peringkat kalah mati."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 8:53 AM