IRIN bersama anak istimewanya, Raees.
IRIN bersama anak istimewanya, Raees.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

KETIKA tiba di ruang legar lobi utama Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-kanak UKM (HPKK), Cheras, Kuala Lumpur untuk tugasan sambutan Hari Kanak-kanak Keperluan Khas baru-baru ini, penulis terpegun dengan alunan piano indah dimainkan.

Alunan muzik lagu Hening Rindu nyanyian asal penyanyi Marsha Milan itu menusuk perasaan dan penulis dapat merasakan pemain piano itu benar-benar menghayati setiap melodinya.

Namun apa yang lebih mengujakan ialah alunan muzik indah itu dimainkan seorang remaja autisme berusia 15 tahun, Raees Aryan Ezmir.

Menurut ibunya, Irin Putri Azmi, di sebalik kekurangan yang ada, anak sulungnya itu dapat mendengar muzik dan mampu memainkan semula melodi yang didengari dengan petikan piano dengan baik.

Kata Irin, Raees menggemari muzik terutama piano sejak kecil dan kelas muzik juga umpama latihan terapi kepada anaknya.

"Melihat minat Raees itu, saya memasukkannya ke kelas piano dan vokal yang diajar guru muzik khas untuk anak-anak istimewa.

"Memang banyak pembaharuan dapat dilihat dan dia juga sudah boleh bercakap dengan nada seperti lagu.

"Setiap anak-anak istimewa ini memiliki kelebihan masing-masing, jadi sebagai ibu, saya perlu membantu Raees mengembangkan minat dan bakatnya kerana siapa tahu, semua itu akan dapat menjadi sumber pendapatannya pada masa hadapan," katanya kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, pengacara televisyen berkenaan juga bukanlah asing lagi untuk diperkenalkan dan dia menggunakan media sosialnya untuk memberi pendedahan mengenai autisme kepada masyarakat.

RAEES berkebolehan bermain piano dengan baik.
RAEES berkebolehan bermain piano dengan baik.

Kata Irin, dia perlu mengambil peluang itu untuk berkongsi ilmu dan pengalaman membesarkan anak autisme.

Ini kerana setiap anak autisme berbeza dan menjaga mereka juga bukannya mudah.

Katanya, Raees agak berlainan kerana mudah dijaga dan tidak pernah mengamuk secara tiba-tiba, jika mahukan sesuatu atau kecewa dengan sesuatu sekali pun, dia hanya akan menangis bukannya tantrum.

"Mungkin masih ramai tidak tahu mengenai keperluan anak autisme dan betapa pentingnya sistem sokongan ahli keluarga mahupun anggota masyarakat.

"Jadi, apabila saya memuat naik video kehidupan Raees dan adiknya, Razeen di media sosial, ramai beri reaksi positif.

"Pada saya, ia bukan sekadar kenangan bersama anak, sebaliknya secara tidak langsung dapat juga memberi kesedaran kepada penyakit berkenaan," katanya yang mengakui anaknya itu obses dengan benda berpusing seperti kipas dan mesin basuh.

Sementara itu, sambutan di HPKK tempoh hari juga menemukan penulis dengan seorang bapa yang mempunyai anak sindrom Down.

Sementara itu, Mohd Ashraf Alyas, 44, mengakui kehadiran Ahmad Alaudeen, 5, benar-benar membuka matanya mengenai situasi sebenar keluarga yang mempunyai anak istimewa.

MOHD Ashraf bersama anak sulungnya, Ahmad Alaudeen yang mengalami sindrom Down.
MOHD Ashraf bersama anak sulungnya, Ahmad Alaudeen yang mengalami sindrom Down.

Kata Mohd Ashraf, meskipun rupa bentuk wajah seakan sama namun setiap anak Sindrom Down mempunyai kelainan tersendiri.

"Menjaga dan membesarkan anak istimewa ini ada ketika memang menguji kesabaran apatah lagi jika ada anak lain yang masih kecil.

"Namun, sebagai ibu bapa, saya dan isteri, Roziana Dawood, perlu sentiasa bersabar dan melalui proses perkembangan Alaudeen dengan seadanya.

"Penat memang penat, tapi kami percaya di sebalik semua ujian ini, ada hikmah di sebaliknya.

"Kehadiran Alaudeen bukanlah beban namun anugerah yang dapat membantu menarik kami ke syurga kelak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 7:02 AM