Asrol Awang

Kuantan: Biarpun menggunakan kerusi roda, seorang wanita tetap menggagahkan diri menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Tentera di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kem Batu 10 di sini, semalam.

Hamidah Jaini, 40, yang bekerja sebagai kerani ditemani suami, Saidi Din, 44, bekas pesara tentera tiba di pangkalan berkenaan kira-kira jam 9 pagi.

“Sebagai rakyat Malaysia yang layak mengundi, saya tidak mahu melepaskan peluang ini menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Lagipun, PRU hanya dijalankan lima tahun sekali dan saya gagahkan diri untuk ke sini dengan ditemani suami,” katanya yang baru menjalani pembedahan pada lutut kanan akibat kecederaan ketika bersukan.

HAMIDAH ditemani suami tidak melepaskan peluang untuk mengundi awal   di SK Pengkalan Udara, TUDM, Kem Batu 10, Kuantan.
HAMIDAH ditemani suami tidak melepaskan peluang untuk mengundi awal di SK Pengkalan Udara, TUDM, Kem Batu 10, Kuantan.

Pasangan suami isteri itu antara 6,158 pegawai dan anggota tentera serta pasangan mengundi awal di SK Pengkalan Tentera membabitkan 11 saluran dengan proses pengundian bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.

Semua anggota keselamatan itu mengundi bagi kerusi Parlimen Pekan yang disandang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14), Najib dicabar calon PKR, Zahid Mat Arip dan pesara tentera, Kapten (B) Ahiatudin Daud daripada PAS dan calon Bebas, Datuk Paduka Abd Kadir Sainudin.

Pengundian awal itu turut membabitkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Manis yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan penyandangnya, Datuk Khairuddin Mahmud daripada Barisan Nasional (BN) dicabar calon PAS, Zainuddin Noh dan calon PKR, Abu Bakar Lebai Sudin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mei 2018 @ 3:37 AM