CALHANOGLU meraikan jaringan pertama Turkiye.
CALHANOGLU meraikan jaringan pertama Turkiye.
Reuters

Hamburg, Jerman: Jurulatih Turkiye Vincenzo Montella menganggap kapten Hakan Calhanoglu sebagai pemain lengkap selepas meledak jaringan hebat untuk membantu pasukannya menewaskan Republik Czech 2-1, awal pagi tadi.

Kejayaan mara ke peringkat kalah mati di Euro adalah yang pertama dalam tempoh 16 tahun buat Turkiye.

Calhanoglu meletakkan pasukannya di depan menerusi rembatan kencang ke penjuru gawang tetapi Czech yang tersingkir menyamakan kedudukan menerusi Tomas Soucek sebelum Cenk Tosun mengesahkan kemenangan sekali gus menduduki tangga kedua di belakang Portugal dalam Kumpulan F.

Montella berkata, penyudah berbisa Calhanoglu bertaraf dunia.

"Dia pemain sangat lengkap. Dia boleh menguasai bahagian tengah dengan baik," katanya.

"Dia menjaringkan gol hebat. Jika anda melihat cara dia melepaskan rembatan, hanya beberapa pemain di dunia yang boleh merembat dengan cara itu.

"Menujukan bola tepat ke penjuru atas gawang menunjukkan kemampuan luar biasanya sebagai pemain."

Dalam aksi sengit dan tegang itu, pengadil melayangkan dua kad merah dan 16 kad kuning termasuk ke atas Calhanoglu yang didakwa membantah jaringan penyamaan Czech.

Dia dijangka terlepas aksi pusingan 16 menentang Austria.

"18 kad dilayangkan pengadil menunjukkan betapa sengitnya perlawanan ini," kata Montella. "Calhanoglu hanya meminta penjelasan pengadil ," katanya.

"Dia kapten dan itu peranannya. Dia dibenarkan melakukannya. Saya yakin dia tak melakukan kesalahan. Keputusan pengadil terlalu keras dan kami menerima akibatnya."

"Apa pun malam ini kami hanya mahu meraikan kemaraan kerana kami memang berhak dan bermula esok kami akan berusaha terus mencipta sejarah. Itu yang pasti."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 8:16 AM