PEMAIN Georgia meraikan kemenangan ke atas Portugal. FOTO AFP
PEMAIN Georgia meraikan kemenangan ke atas Portugal. FOTO AFP
AFP

Gelsenkirchen, Jerman: Georgia mara ke peringkat 16 terakhir Euro 2024 selepas menewaskan Portugal 2-0 sekali gus mencipta sejarah pada penampilan pertama mereka di kejohanan utama.

Jaringan Khvicha Kvaratskhelia pada minit kedua di Gelsenkirchen dan penalti Georges Mikautadze minit ke-57 membolehkan Georgia meraih kemenangan terhebat dalam sejarah negara itu.

Pemain Georgia berpesta dengan penyokong mereka selepas tamat perlawanan yang menyaksikan kekalahan pertama Portugal sejak Piala Dunia 2022.

Pasukan kendalian Willy Sagnol mara daripada Kumpulan F sebagai antara empat pasukan tempat ketiga terbaik dan mereka menempah pertembungan getir dengan Sepanyol pada Ahad ini.

"Kami mencipta sejarah. Tiada siapa percaya kami melakukannya dengan menewaskan Portugal dan ini menunjukkan kami juga pasukan kuat," kata Kvaratskhelia kepada pemberita.

"Jika anda ada walaupun satu peratus peluang, anda boleh melakukannya jika anda percaya."

Portugal sudah pun layak lebih awal ke pusingan kalah mati sebagai juara kumpulan dan jurulatih Roberto Martinez melakukan lapan pertukaran daripada kesebelasan yang menewaskan Turkiye untuk mengesahkan tempat selaku pendahulu pada hujung minggu lalu.

"Intensiti kami rendah. Kami melepaskan gol awal yang diperlukan Georgia dan selepas itu kami serba tak menjadi dari segi hantaran dan penyudah," kata Martinez kepada wartawan.

"Kami cuba menjaringkan gol tetapi gagal yang menaikkan lagi semangat Georgia dan akhirnya mereka memang berhak menang."

Bagaimanapun, Martinez bakal mempunyai skuad lebih segar dan bebas kecederaan apabila menentang Slovenia pada peringkat 16 terakhir Selasa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 7:04 AM